AKHIRNYA PERPISAHAN BERTANDANG JUA

Assalamualaikum....


Amar, Aku dan Abi...
Min takda sebab balik awai..
Hahaha


Setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Catatan ini hanyalah coretan ringkas aku sempena hari terakhir semester terakhir di USM. Hari ni aku baru sahaja habis exam semester pertama sidang terakhir aku di USM. Tiada lagi exam selepas ini sebagai pelajar ijazah sarjana muda. Selepas ni aku akan menjalani Latihan Mengajar di sekolah dan jika dipermudahkan segalanya aku akan bergraduasi pada hujung tahun ini.

Okay, kita lupakan seketika berkaitan praktikal dan sebagainya. Fokus coretan ini adalah mengenai perjalanan aku sebagai pelajar di USM. Apa yang menggembirakan aku adalah pertemuan dan perpisahan adalah perkara yang paling sukar untuk hadapi. Bukan berpisah dengan crush atau awek atau kekasih ker apa, tetapi berpisah dengan kawan. Ye la kan, kawan-kawan yang pengajian 3 tahun setengah dah habis semester nih. Tinggalah kami yang 4 tahun meneruskan perjuangan. Roomate aku juga akan habis sem nih. Sebenarnya dah sebab sem ni dah habis. Huhuhu.

Sebelum nih berpisah dengan skuad Kala Rimba 34 apabila semua telah di tauliahkan. Kemudian rakan-rakan yang pengajian 3 tahun dah bergraduasi. Sekarang rakan-rakan yang 3 tahun setengah pula dah habis. Sedih rasa hati. Gelak ketawa semua kini tinggal kenangan. Masing-masing bakal menempuh alam baru iaitu alam pekerjaan dan akan membawa haluan masing-masing.

Aku?? Masih di sini berjuang. Secara tepatnya bukanlah di USM lagi tetapi masih berkait dengan USM. Dah melalut lagiii.... aduhaii...

Abi , Amar dan Muhaimen. Bila duduk sekali macam-macam boleh jadi dengan deme nih. Sembang bohong kompem la. Mengumpat orang tuh,,ada la sikit...sikit ja. Tapi sembang bohong la banyak. Hahaha.. Masing-masing ada cara, idea dan kepala sendiri. Bila sembang tak berilmiah langsung.
Perak, Pulau Pinang, Terengganu dan Melaka. Masing-masing ada loghat tersendiri yang juga jadi bahan bila borak. Hahaha..

 Plan nak pergi bercuti masih belum menampakkan hasil. Asalnya dulu nak pergi langkawi tapi min pulak tak dapat join sebab dia pergi SUKIPT. Jadinya takda guider la nanti. So kita tangguhkan dulu. Tapi tak tau la sampai bila nak tangguhnya..Paling awal pun mungkin 5 tahun lagi. Hahaha..

Buat kome-kome kat atas nih, terima kasih la yer jadi kawan aku. Entahlah, malas nak cakap banyak dah. Tulis dalam diari je la senang sikit. Sini kena tapis jugak nak tulis pun. Hahaha..

Semoga berjaya dengan haluan yang dipilih. Ada rezeki bertemu lah kita di hari konvokesyen hampa nanti. Aku akan berusaha untuk datang juga kerana disini adalah sebahagian kebahagiaan aku.

Aku selitkan sikit gambar-gambar kat bawah nih. Nanti bila rajin aku update balik entri ni bagi kemas sikit. hahaha.

Gambar Min mana???? Nantila aku cari....tengah malas nih. Hahaha
Hasil kerja Amar sebagai kameraman...hahaha
Hampa tak tengok lagi dia buat panorama...
hahahahhahahahhaa

16/1/2016 (0.37a.m)

CERPEN - SETAMAN MAWAR HATI



Mentari pagi mula menginjak tinggi di sebalik perbukitan yang tersergam indah di perkampungan Andaman . Cahayanya memancar tajam menerangi seluruh pelusuk desa   Andaman. Sinar matahari pagi menerobos masuk ke dalam bilik Wak Saman melalui daun tingkap yang tidak bertutup rapat. Terkenyit-kenyit Wak Waman bangun  sambil memisat-misat biji matanya.  Matanya digosok berkali- kali. Ternyata hari sudah siang benar. Matahari sudah terpacak tinggi.

Tiba-tiba Wak Saman bingkas bangun menuju ke tingkap lalu di kuaknya daun tingkap kiri dan kanan sehingga terbuka luas.  Tumpuannya terarah kepada  deretan pasu bunga di halaman rumahnya. Bagaikan sebuah taman mini dengan pelbagai jenis tumbuhan berbunga.

‘’Ah, lambat pula aku bangun hari ni. Pasti Biru sudah kehausan.’’ Keluh Wak Saman. Kain pelekat yang dipakainya digulung kemas. Semakin digulung semakin senteng jadinya hampir menonjolkan kepala lutut.

Perlahan-lahan langkahnya diatur menuruni anak tangga. Kudratnya kian dimamah usia. Jika dahulu, dengan pantas sahaja dia dapat menuruni tangga. Dari anak tangga paling atas terus sahaja dia melompat ke tanah. Itu belum dikira lagi kegagahannya mendaki perbukitan Andaman saban petang.  Kelincahan, ketangkasan, kepantasan dan kegagahannya tiada tandingan di perkampungan Andaman.
Lantas dia digelar jaguh yang menjadi tumpuan anak gadis di desa Andaman. Tiap kali beradu tenaga, dia belum pernah tewas. Belum ada yang mampu menewaskannya walau sekali. Dia terlalu ampuh untuk ditewaskan. Namun, telah  muncul satu kuasa yang sakti. Kuasa yang mampu mencairkan besi padu, meratakan gunung - ganang dan mengeringkan selautan ego sang lelaki. Kuasa itu digelar cinta. Kuasa inilah yang telah membawa dia kepada kehidupannya kini. Keperkasaanya ditewaskan dengan kuasa yang namanya cinta. Sukar untuk dipercayai tetapi harus diakui.

Diperhatikannya  deretan bunga-bunga yang pelbagai warna dengan hanya  berkain pelekat tanpa memakai baju. Susuk tubuhnya jelas memperlihatkan  usianya.  Rusuknya jelas kelihatan timbul disebalik lapisan kulit yang menipis dan berkedut. Boleh di hitung.

 Di capainya baldi air berhampiran tangga lalu di siramnya  bunga-bunga tersebut bermula dari pasu di sebelah hujung.  Disiramnya perlahan pada bahagian akar menggunakan penyeduk air yang dibuat daripada botol plastik yang dibelah dua. Jika disiram di bahagian batang dan juga daun akan menyebabkan kelembapan seterusnya memudahkan jangkitan penyakit seperti kulapuk dan kulat pada pokok.

Tiap-tiap pasu diteliti dengan bersungguh persis seorang doktor merawat pesakit. Dibeleknya daun, batang dan kuntum mawar kalau-kalau ada yang rosak. Daun yang kerinting dicantas dan dibuang terus ke jauh. Itu tandanya pokok tidak sihat kerana dijangkiti  penyakit Thrip iaitu sejenis kutu yang menghisap nutrien pokok. Akibatnya pokok kekeringan nutrien dan akan mati. Rumput kecil yang menumpang di dalam pas uterus dicabut dan dibuang. Mana mungkin dia mahu membiarkan nutrien untuk mawarnya dikongsi bersama si rumput yang hanya tahu menumpang sahaja.

Wak Saman amat menitik beratkan hal ini. Tiap kuntuman dijaga dan diperiksa rapi. Deretan mawar ini adalah jiwanya yang hilang suatu ketika dahulu. Kehilangan sekali lagi akan menjadi malapetaka. Dia pasti rebah tanpa berbangkit.  Masa lalu telah mengajarnya.

Tiba di  pasu yang terakhir  dia berhenti sejenak. Direnungnya dengan mendalam. Di dalamnya terdapat sepohon mawar yang mempunyai sekuntum mawar Biru yang mekar.  Yang dijaga dan dibaja dengan baik dan penuh kasih sayang. Lagaknya umpama membelai sang kekasih.  Baja taik ayam menjadi  pilihan terbaik agar  pokok tumbuh subur dan gemuk. Seperti manusia juga, tumbuhan juga perlukan nutrien tambahan seperti kulit buah pisang, kulit telur,  dan air basuhan ikan. Wak Saman peka.

Wak Saman membelek kuntuman mawar  yang  tergolong dalam kumpulan angiosperm ini yang  telah wujud sejak zaman cretaceous lagi serta  menjadi hiasan laman yang paling menenangkan dirinya. Sepadan dengan jiwa melayu nya seperti di kisahkan di dalam Hikayat Bayan Budiman betapa terkenalnya mawar sebagai tanaman hiasan dalam kehidupan. Di belainya mawar Biru lembut. Hidungnya dirapatkan kepada kuntuman mawar Biru lalu menarik nafas dalam-dalam dengan mata terpejam. Menikmati  keharuman mawar Biru. Aroma yang menyegarkan lagi mendamaikan persis haruman si gadis Andaman.

Layanan wak saman terhadap si mawar Biru rupanya menimbulkan rasa cemburu kuntuman yang lain. Masing-masing mempersoalkan layanan wak saman terhadap mawar Biru. Membanding – bandingkan kelebihan diri masing-masing.  Hanya si mawar Hitam yang tidak bersuara. Diam di sudut paling hujung berselang satu pasu.  Dianggap sombong oleh kuntuman  yang lain. 
‘’Kenapa engkau hanya berdiam wahai si mawar Hitam? Atau engkau bisu?’’ soal mawar Oren yang berada paling hampir dengan mawar Hitam.

‘’Aku..... malu. Tubuhku gelap dan suram. Manusia sering mengaitkan aku dengan kesedihan dan kematian. Kerana itu, tiada yang mahu mendekati , apatah lagi hendak berkawan denganku. ‘’ Luah mawar Hitam. Riak wajahnya kelihatan sugul. Sedih barangkali mengenangkan nasib dirinya.

‘’Mengapa pula kau bertanya? Adakah engkau mahu berkawan denganku?’’. Soal mawar hitam pula.
‘’Aku mawar Oren.... si  pemberi semangat kepada yang perlu. Lagi pula aku juga sering berbual dengan mawar Hijau yang selalu bercerita  tentang keharmonian, keakraban dan kesejahteraan. Aku akan membantu engkau.’’ Jelas mawar Oren memujuk.

Mawar Hitam hanya menganguk. Sesekali dia tersenyum dengan layanan baik mawar Oren yang memberikan semangat serta kekuatan kepada dirinya. Sudah menjadi tanggungjawab mawar Oren untuk membantu mereka yang lemah serta tiada motivasi diri untuk bangkit.

‘’Kalaulah aku secantik mawar Biru’’. Gumam mawar Hitam sendirian.

‘’Iya lah, Jika di beri pilihan aku juga mahu secantik dia.’’ Mawar Oren mengiyakan kata-kata mawar Hitam. Baginya, mawar Hitam benar, semua kuntuman di taman itu mahu menjadi seperti mawar Biru. Walaupun mereka tinggal diatas para, deretan, saiz pasu dan menerima nutrien yang sama, mawar Biru tetap lebih menyerlah dan  mencuri tumpuan lebah dan kelulut yang menyinggah. Sang rerama juga gemar datang bertenggek menikmati manisan di kuntuman mawar Biru.  Apatah lagi Wak Saman juga amat menyayangi mawar Biru yang mencambahkan lagi tunas cemburu mawar di deretan itu.

Perbualan mereka berdua sedari tadi  didengari oleh  mawar Merah, Putih, Kuning, Unggu dan Merah Muda. Maka tercetus pula perbualan di antara mereka berlima.

‘Di halaman ini, di deretan ini aku lah yang  paling cantik dan menawan.  Ramai manusia yang tertarik dengan warna tubuhku dan seringkali aku menjadi pilihan sebagai hadiah oleh  pasangan yang bercinta. Tubuhku juga berwajah seksi ‘’ Kata mawar Merah membangga diri seraya memekarkan kuntumnya. Tercabar dengan pujian mawar Hitam terhadap mawar Biru.

‘’Ahh,,, jangan engkau perasan , bukan kau sahaja menjadi pilihan. Aku juga turut diminati.  Warna tubuhku juga unik. Aku menjadi pilihan buat mereka yang mengutamakan persahabatan. Manusia memilih aku untuk menghargai sahabat. Sahabat itu lebih  ramai berbanding kekasih yang hanya seorang. Tidak seperti engkau mawar Merah yang hanya di diperlukan ketika manusia sedang asyik bercinta sahaja.’’Hujah mawar Kuning tidak mahu beralah. Kata –kata mawar Merah ternyata mencabar keegoanya.

‘’Engkau sudah lupa atau pura-pura lupa? Engkau juga penuh dengan sifat cemburu. Harus engkau ingat itu. ’’  Balas mawar Merah sinis.

Pandangan mereka bertaut seketika. Kemudiannya berpaling membelakangi  sesama sendiri.

‘’Aku tidak mahu berkata apa-apa. Setiap ciptaan punyai  kelebihan. Sebagai makhluk yang dicipta Allah, kita  harus menerima setiap ciptaan-Nya  seadanya.’’ Kata mawar Putih lembut mempamerkan sikap dan perwatakannya yang  suci dan berhati murni.

Mawar Merah dan Kuning saling  berpandangan semula. Seakan bersatu membantah ungkapan mawar Putih.

‘’Sudahlah,  kalian usah bertengkar lagi’’. Akhirnya mawar unggu bersuara. Sedari tadi dia hanya mendengar sahaja perbualan mereka bertiga. Mawar putih, merah dan kuning masing-masing memandang tepat kearah mawar Unggu. Menanti butir kata selanjutnya.

‘’Ada benarnya juga kata-kata mawar Putih itu. Lihatlah mawar Biru itu, saban waktu  diberi lebih perhatian oleh Wak Saman berbanding kita semua. Kerana apa? Kerana kita suka berhasad dengki dan membangga diri. Padahal kita sepatutnya saling melengkapi. Manusia juga memerlukan kita di dalam diri mereka. Tetapi ramai yang tidak sedar. Mereka terlalu memilih dan akhirnya tersalah pilih.’’ Lantang mawar Ungu berhujah hinggakan semua kuntuman sederet itu mendegar jelas butir bicaranya.

‘’Tiada gunanya memilih jika Merah sahaja, kelak engkau akan lupakan sahabat, lupa erti setia yang akan melunturkan kesucian hati. berharmonilah seperti mawar Hijau. Lihatlah, kita sebenarnya saling memerlukan dan bukannya dipisahkan. Jika tidak, jiwa kita akan mati dan beginilah akhirnya kita. Bertelagah sesama sendiri yang merugikan diri sendiri juga.’’

Mereka bertiga mengangguk. Kata-kata mawar Unggu ada benarnya juga. Mereka tidak nafikan. Mawar Unggu terlebih dahulu menghuni para itu berbanding mereka yang lain.

‘’Mawar Biru...... kau adalah keindahan yang unik, penuh dengan kesempurnaan dan kekaguman.Dirimu tidak seperti yang lain... engkau bukan semula jadi. Engkau adalah gabungan bersama mawar Putih melalui teknik pengubahsuaian genetik. Kerana itu engkau berbeza. Engkau istimewa ...... kepada mereka, kepada aku. Kepada jiwa yang mati.’’ Monolog Wak Saman sendirian di dalam hati tatkala merenung keindahan mawar Biru.

‘’Pertama dan terakhir.’’ Nekadnya di dalam hati.

Kerana itu wak saman begitu memberikan lebih perhatian kepada mawar Biru. Bukan kerana pilih kasih. Semuanya juga dilayan secukupnya.  Baja, air dan juga nutrien yang sama untuk semua kuntuman. Tetapi, bagi Wak Saman, mawar Biru begitu istimewa dalam hidupnya. Suatu masa dahulu sewaktu dia masih gagah, mawar Biru dijadikan  alat untuk interpretasi  akan cinta pertamanya terhadap seorang gadis desa Andaman. Mawar Biru menjadi lambang cinta pertamanya.
Cinta pandang pertama yang merubah dirinya seperti sekarang. Cintanya  telah karam di lautan hati yang paling dalam. Khilafnya dia kerana lupa akan mawar Merah, Unggu, Hijau, Putih, Merah Muda dan Kuning menyebabkan cintanya  lompong. Akhirnya mawar hitam datang bertandang memahat duka di dasar hati.

Kini  segalanya telah disatukan di atas sederet para  dihalaman rumahnya. Cuma mawar Hitam sahaja yang dijarakkan satu pasu daripada mawar yang lain. Baginya akan tiba masa dan ketikanya nanti mawar Hitam akan mengambil alih kedudukan semua mawar tersebut di hatinya. Bukan sengaja meminggir melainkan kerana Wak Seman arif benar akan sifatnya mawar Hitam yang menjadi simbol kepada kesedihan dan kematian.

Tiada guna berkasih sayang jika tiada kesetiaan. Itu tandanya hati telah  hitam. Angin bertiup perlahan. Sehelai demi sehelai kelopak mawar Unggu gugur menyembah bumi. Hingga tiada lagi yang tersisa.


Matahari semakin galak memancar sinarnya tegak di ubun-ubun. Wak saman telah selesai menyiram dan membaja semua bunga mawarnya.  Jika lupa disiram , kuntuman akan  menjadi layu  di panah cahaya matahari. Wak Saman kemudian menapak pergi bersama harapan semua mawarnya  hidup subur dan mekar dalam jagaanya yang semakin meniti hari.

HIKING BUKIT JAMBUL, PENANG - 2015

ASSALAMUALAIKUM...



Alhamdulillah berkesempatan untuk update entri di kala 2015 semakin melabuhkan tirainya. Hanyalah entri biasa-biasa sahaja sebagai catatan memori  sebagai pelengkap kepada tahun 2015. Aku menulis untuk berkongsi. Jika sudi berkongsi, dipersilakan untuk membaca, Jika tidak, terpulanglah...

Hahaha... Intro pun dah meleret bagai. Okay, kembali kepada tujuan asal. Outdoor activities ni memang best. Tambah pulak dengan kawan yang sekepala dengan kita.  Aku ni dah tahun akhir kat USM. Dan ini adalah kali pertama aku hiking Bukit Jambul. Rendah je pun bukit nih. Sebelum ni bukan tak pernah orang ajak, tapi aku tiada masa dan ada la beberapa sebab lain yang menghalang.

Untuk kali ni pun sebenarnya ada juga halangan. Tapi aku nekad dan Alhamdulillah berjaya juga. Rancangan asalnya nak hiking semalam dengan kawan-kawan. Tapi boleh pulak aku kena tinggal dengan member. Sebab utamanya adalah lambat. Padahal tak la lambat sangat pun. Dan tak perlu rushing sangat pun sebenarnya sebab perjalanan lebih kurang 5 minit je pun dari USM. Tapi tu la, dah tak boleh nak tunggu, pergi je la deme. Maka aku yang sedang mengikat tali kasut di bilik  ni pun termenung seketika. Perlukah aku pergi juga atau sebaliknya? Kalau nak pergi sorang aku mana pernah pergi lagi Bukit Jambul punya trail tu. Lagi satu jalan pun aku ingat-ingat lupa ja. Dan pula nanti macam aku hiking sorang- sorang je la. Akhirnya aku buat keputusan bukak kasut, tukar baju dan pergi kenduri kahwin dengan rumate dan kawan aku. Hahaha. Begitulah kisahnya.

Mulanya aku tweet di twitter nak pergi hiking sorang-sorang sebagai balas dendam akibat kena tinggal kelmarin. Tak sangka pulak dapat respon dari kawan aku. Tanpa dirancang serta merta kami set time petang ni juga  untuk pergi. Walaupun cuaca nampak macam nak hujan, tapi kami redah jugak. Sampai je kat Bukit Jambul kami terus hiking. Ramai jugak orang. Tua muda semua ada.

Perjalanan naik tak la sukar sangat. Trek dah ada. Kebanyakkan trek berbatu dan di buat bertangga-tangga. Hanya sedikit sahaja yang tidak bertangga dan laluannya sedikit landai. Perjalanan naik ke atas tak sampai 30 minit.

Kat atas tu ada tempat berehat. Ada kerusi dan permandangan yang agak menarik jugak. Menghadap ke arah laut. Antara permandangan yang dapat dilihat adalah jambatan Pulau Pinang yang pertama dan kedua, pulau Jerejak dan bangunan di kawassan sekitar. Kat puncak agak kurang berangin pada waktu petang. Mungkin disebabkan terlindung oleh pokok-pokok. Waktu pagi aku belum cuba lagi. In Shaa Allah akan cuba dalam masa terdekat ni.

Di bahagian puncak jugak ada gazebo atau wakaf untuk berehat sambil menikmati permandangan dari puncak bukit. Beberapa peralatan atau alat senaman juga terdapat di bahagian puncak. Nak aku senaraikan jenis alatan memang aku tak ingat. Naik dan lihat sendiri. Tempat tu sesuai untuk yang nak workout.

Aku dan Ijak.. Hahaha

Antara view dari puncak

Tengok permandangan dan kemudahan yang ada membuatkan aku rasa macam nak selalu naik dan workout kat atas sana. Tapi malu la pulak rasa sebab ada ramai orang. Hahaha.

Kami turun awal sekitar 6.30 petang disebabkan hujan mulai rintik rintik. Perjalanan menuruni bukit menjadi agak pantas. Cuma agak membimbangkan kalau-kalau lutut terkehel sebab turun dari bukit yang agak curam. Naik aku tak kisah, turun yang kurang gemar sikit nih.

Sampai di kaki bukit, kami rehat-rehat dulu. Main alatan senaman yang ada kat situ. Dalam 10 minit lepas tu kami terus gerak balik ke  USM. Sampai USM kami tak terus gerak balik bilik. Kami singgah stadium olahraga dulu. Saja 'cuci mata'. Hahaha.. Dasar lelaki. Kami tak joging pun. Malass....Kami cuma ambil-ambil gambar sambil light workout kat situ. Penat la jugak sebenarnya. Tapi rileks.  Bila dengar azan maghrib kami terus balik.

Simple kan. Aktiviti yang tak dirancang. Redah dan rileks.

Ini je la yang aku nak cerita. Catatan untuk masa mendatang. Ingatan aku akan semakin pudar seiring waktu berganjak, tetapi catatan ini akan kekal dan tak akan luntur walau sebaris kata.

RIANG RIA DELIMA 4 BERSAMA DUA BUDAK




Alkisahnya hari ni alang-alang aku dok throwback atau bahasa melayunya imbas kembali gambar-gambar lama, maka ada decide nak nuat satu entri untuk membebel pasal budak dua orang nih. Dah pernah sebenarnya aku membebel pasal budak-budak ni. Tapi terasa macam nak membebel lagi pulak. Kali ni aku akan sertakan gambar-gambar dahulu dan terkini budak dua orang. Mana nak dapat gambar-gambar tu? Alaa.. rembat je kat facebook. Hahaha.

Okay, budak dua orang ni nama Rizal dan Idan. Mana satu Rizal dan mana satu Idan boleh tengok dalam gambar kat atas. Rizal berbaju hijau manakala Idan berbaju purple. Dan lagi mudah nak cam Rizal gelap sikit. Idan tu putih banyak. Hahaha.. Jangan mara ye Rizal..Tapi memang betol pun..

Rizal bersongkok hitam... hahaha

Pasal budak dua orang nih, aku mulakan dengan si Rizal si budak hitam manis nih. Pahit jugak sebenarnya. Saja nak ambik hati. Mula aku kenal budak ni waktu dia tingkatan 1. Waktu tu alahai budak nih kecik-kecik dok berkawan dengan kawan dia yang badan besar tuh. Sana sini berdua je depa nih. Aku lebih kenal budak ni bila aku jadi Biro Kebudayaan dan kena uruskan Malam Ambang Kemerdekaan di asrama. Dipendekkan cerita untuk persembahan malam tu kami perlukan seseorang untuk baca sajak. Cari punya cari dapat la si budak Rizal nih. Hurmm..bagus jugak la budak nih. Badan kecik tapi suara lantang.

Masa budak ni tingkatan 2 rasanya aku dapat sebilik dengan budak dua orang. Buasnya tak tahu nam cakap macam mana. Sama je dua-dua. Dah la kawan rapat dua orang nih, buas pun sama-sama buas jugak. Padan la. Antara yang aku ingat kami ada buat satu ayat macam pepatah la untuk ditampal di dinding bilik. Ayat tu kami buat guna perkataan yang digunting dari surat khabar. Lepas tu kami gantung kat dinding. Rajin jugak la budak dua orang ni menolong. Puas juga nak mintak tolong buat sampai habis. Dan hasil kerja kami tu aku tengok bertahan jugak la beberap tahun kat Blok Delima 4 bilik 4 (Nenas) beberapa tahun dan sekarang aku tak tahu macam mana. Nanti aku cuba mintak tolong sesapa tengok kalau-kalau ada lagi. Hahaha.

Sebelum ni aku tak berapa kenal pun Rizal ni. Tapi lama-lama makin kenal dan makin rapat pulak. Tapi tak la serapat dia punya kawan-kawan dan abang senior dia. Budak ni pulak jenis aktif jugak la. Masuk nasyid bagai. Aku bukan taknak masuk nasyid-nasyid nih, tapi suara aku tak mengizinkan. Orang kata geng nasyid ni ramai peminat kat sekolah. Senang dapat awek. Hahaha.. (That why i'm alone maybe)

Satu-satunya kawan asrama yang aku pernah tidur di rumahnya. Tak pernah lagi la sepanjang tinggal di asrama atau sepanjang pindah di gerik ni aku tidur di rumah kawan-kawan. Untuk pengetahuan aku pindah ke Gerik pada tahun 2005 iaitu sewaktu di tingkatan 1. Alkisahnya dia beria ajak aku pergi rumah dia . Akhirnya aku pun pergi jugak. Tidur la kat rumah dia 2 malam. Apa kami buat? Makan tidur dan main game. Hahaha..Family dia pun semua okay. Aku ni je penyegan sikit. Hahaha..

Kan ada pepatah pernah mengatakan jika kita tinggal di rumah kawan kita lebih daripada 3 hari, kita akan kenal siapa kawan kita kerana kita melihat diri dia yang sebenar. Betol jugak pepatah tuh. Hahaha.. Takda apa yang negatif rasanya aku nak cerita, sebab aku tengok budak nih ok la kat rumah, dengar cakap mak bapak, rajin pulak tuh..( rajin masak. goreng telur). Merasa la jugak aku makan hasil masakan dia. Hahaha.. Ini antara benda positif yang aku belajar la, sebab aku nih jenis liat jugak kalau mak cakap tuh, degil sikit la kiranya. Tapi sekarang aku dah cuba perbaiki sikit-sikit. Mak cakap je terus buat, takda dah  nak beralasan banyak.Huhuhu.

Suka berahsia. Ya, aku rasa budak nih suka berahsia. Dan aku pulak tak gemar nak memaksa. Kalau orang nak cerita, aku sentiasa bersedia untuk mendengar, tapi kalau orang taknak cerita, apa boleh buat kan. Cuba, untuk beberapa perkara aku akan paksa juga. Hahaha.

Banyak juga kalau nak cerita pasal budak sorang nih, tapi penat juga aku nak menulis. So, biarkan je la cerita-cerita tu dalam ingatan aku.

Aku masih menanti dia nak mai penang. Daripada  aku tahun satu sampai tahun empat di USM dia tak sampai-sampai lagi. Hahaha.. Mungkin takkan sampai kot.

Budak ni dok ajak aku hiking Gunung Baling. Aku no hal, dia la tak habis belajar lagi. Aku dah nak habis cuma nanti aku praktikal masa agak terhad la. Lepas praktikal dulu la nampak gayanya.

Satu yang aku tak puas hati budak ni tinggi lagi pada aku sekarang nih. Al maklumlah aku ni terbantut sikit. Kalau dulu senang aku nak gigit dia, sekarang dah payah. Tapi aku akan cari peluang jugak. Jaga hang. Hahaha. Jarang main facebook jugak budak ni sekarang. Maklumlah wassap semua bagai tuh dah ada sekarang. Sekarang pun masih contact lagi cuma budak ni 'berlagak' sikit sekarang. Hahahahaha.

Cukuplah cerita pasal Rizal nih, letih aku. Nak cerita pasal Idan pulak. Okay, Idan ni partner dengan si Rizal nih. Alaa...budak kecik dua orang yang selalu huha huha kat bilik. Deme dua ni la. Lari-lari pusing katil main kejar-kejar, deme ni la orangnya. Iskh iskh iskh.

Tapi satu hal yang aku tak nafikan, budak dua orang ni menceriakan hari aku. Maklumlah stress kat sekolah bagai, layan budak dua orang ni lupa plak aku dengan masalah semua tuh. Gambar-gambar Idan waktu form 1 ada banyak jugak kat aku walaupun lagi banyak yang dah hilang. ''Tragedi kemas rumah''. Huhuhu.. Kalau dibanding dengan sekarang memang agak berbeza dah la. Dah makin tinggi pulak budak Idan ni pun. Akibatnya aku pulak paling rendah antara budak berdua nih walaupun suatu ketika dulu aku paling tinggi.

Idan sekarang dah kerja. Bekerjaya dah dia. Aku je la dengan Rizal masih mengemis ilmu di ceruk bumi. Idan kerja polis bantuan. Woww.. Tak sangka plak aku dia minat bidang polis. Kalau aku ni la bidang paling aku tak minat. Sebabnya tugas berhadapan orang ramai/ orang awam yang bakal mengundang dilema dalam diri aku nanti berbanding dengan kerjaya askar. Okay la tu, dia dah ada arah tuju perancangan masa depan dia. Dok nampak macam dia dengan aku, dia yang akan kahwin dulu. Hahaha. Rasanya laa.....Aku lambat sikit kot. Empat tahun lagi la lebih kurang.

Idan ni jenis suka aktiviti kampung macam memancing, memanah ikan danbagai-bagai lagi la. Dia la yang bawak aku pergi ke Lawin untuk panah ikan. Sejak pindah gerik, aku tak merasa pun nak pergi memanah ikan. Tu yang selalu je bodek Idan ajak pergi tu. Huhuhu. Main hoki pun hebat juga budak nih. Tapi jarang la kami main sekali sebab dia aktif main bila aku dah habis sekolah. Pastu dia lagi suka main bola tampar dengan bola sepak. Huhuhu. Kasihan diri aku..Sama la dengan budak Rizal tu Idan ni pun budak nasyid jugak. Sedap ke tak?? Hurmm... no komen... hahaha... Awek ramai nih, kira sedap la kot.. hahaha...

Satu yang aku tak boleh lupa pasal Idan adalah senyuman. Kalau senyum manis sungguh nampak nampak. Nasib la aku laki. Kalau la aku pompuan, maunya aku jadi secret admire budak nih. Hahaha.. Betoi aku cakap, Idan bila senyum memang nampak manis, tapi kalau buat muka serius rasa nak sepak ja. Hehehe. Gambar-gambar tu tengok la aku kongsi tu.

Dah tak tau nak cakap apa, ni pun rasa dah panjang, nanti la aku sambung mungkin lepas salah sorang dari budak dua orang ni kahwin kot. Hahaha. Yang pasti cerita budak dua orang ni aku akan update ikut semasa. Hahaha. Cuma Idan je agak sukar sikit nak contact sebab sibuk dengan kerja. Tapi kalau dah bosan sangat aku akan kacau juga budak-budak nih. Rindu? Mohon telan ubat gegat sekilo.



Apa yang aku mengarutkan disini tentang budak dua orang ni adalah dari perspektif aku sendiri. Kalau ada yang berbeza pandangan itu terpulang masing-masing. Aku hanya ingin berkongsi. Sebarang tafsiran anda yang negatif terhadap aku itu terpulang pada kewarasan akal masing-masing.

Ni waktu form 1. Sekarang ada yang dah masuk Uni dah pun...

Tu buktinya Idan rendah dari aku dulu.. Hahaha

Lengan baju punya la panjang.. Sampai tangan pun tak nampak. Hahaha

Ini waktu 2011... Nampak tak Idan dah sama tinggi dengan aku.
Sekarang 2016.. Agak-agak tinggi mana yer Idan. Hahaha
Nanti aku ambik gambar dengan dia.

Besar panjang dah budak kecik sorang nih. Dah boleh kawin dah nih. Hahaha..

REVIEW NOVEL : KASIH DI KOTA SAYANG DI DESA karya (JUSANG BOLONG)

jusang bolong, novel kasih di kota syaang di desa
Muka Hadapan novel


Novel: KASIH DI KOTA SAYANG DI DESA
Penulis: Jusang Bolong
Tahun : 1993
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka


Ulasan:

Novel Kasih Di Kota Sayang Di Desa merupakan  novel yang dihasilkan oleh Jusang Bolong sempena Peraduan Menulis Novel Kanak-Kanak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1993.

Novel ini sesuai di baca oleh lapisan umur15 tahun ke bawah. Novel yang mengangkat tema kekeluargaan ini sarat dengan pengajaran serta menggunakan bahasa yang mudah difahami sesuai dengan peringkat umur sasaran.

Novel ini memaparkan kisah Khairil dan Aman yang tidak mendapat kasih sayang sewajarnya daripada ibu bapa masing-masing dan bertindak nekad untuk melarikan diri ke sebuah desa. Di desa yang bernama Desa Magladena Aman dan Mohd. Khairil telah menumpang kasih di rumah Pak Din dan Mak Jah. Mereka berdua telah menjadi keluarga angkat Mak Jah dan Pak Din beserta dua orang anaknya iatu Nur Atika dan Firdaus yang tempang sebelah kakinya. Nur Atika, Firdaus dan Mohd. Khairil masih bersekolah manakala Aman pula tidak lagi bersekolah dan membantu Pak din menangkap ikan dan berkebun. Apabila pulang dari sekolah Mohd. Khairil akan membantu membuat kerja-kerja seperti memotong kayu dan sebagainya. Aman dan Mohd. Khairil hidup gembira di Desa Magladena. Namun begitu seringkali juga mereka termenung teringatkan ibu kandung mereka.

Pelbagai cabaran dan dugaan dihadapi oleh Aman dan Khairi sepanjang menjadi anak angkat kepada keluarga Mak Jah dan Pak Din yang telah banyak merubah dan membentuk perwatakan dan kematangan Aman dan Khairi. Nilai agama juga turut ditekankan oleh penulis melalui perwatakan ibu Khairil yang tidak mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya. Nilai kasih sayang menjadi intipati cerita ini disamping nilai persahabatan yang diketengahkan melalui watak-watak seperti Firdaus, Mohd. Khairil, Nur Atika dan Aman.

Teknik imbas kembali yang digunakan oleh penulis menjadikan  penceritaan  novel ini lebih menarik. Kisah percintaan juga turut di selitkan melalui watak cikgu Normah dan cikgu Adam. Pengkisahan ini berlatarbelakngkan kehidupan di sebuah desa yang belum menerima arus pemodenan seperti yang digambarkan oleh penulis melalui keadaan jalan yang tidak berturap, bekalan elektrik dan air yang masih tiada dan suasana kampung yang damai dan menenangkan kerana jauh daripada kebisingan eksos kenderaan seperti di bandar.

Ilustrasi bergambar membantu penghayatan dan kefahaman pembaca

P/S: Hargailah ibu bapa kita selagi mereka masih hidup dan sebagai seorang anak, walau siapa pun ibu bapa kita, taatilah mereka kerana tanpa mereka tiadalah kita.

SELAMAT MEMBACA..

1 HARI 1 BUKU atau
1 MINGGU 1 BUKU atau
1 BULAN 1 BUKU atau
1TAHUN 1 BUKU
**ANDA TENTUKAN**

SUARA HATI PERINDU SEPI 2015

SUARA HATI PERINDU SEPI 2015 adalah sebuah entri yang menggabungkan segala catatan luahan hati dan percikan rasa Perindu Sepi yang dinukilkan di dalam jasad aksara.

1. Keliru

Air mata, 
Jernihkan dirimu,
Menitis berita duka,
Atau merai kabar bahagia,
Aku keliru.


2. Rindu

Rindu
Akan suara
Akan rupa
Akan tawa
Dia


3. Masa

Perginya tidak bersendirian,
Perginya bukan seketika
Membawa berita duka
 Yang membekas bahagia
Di wakaf kenangan
Pantas bergulir
Detik demi detik

Masa
Yang pergi itu masa
Yang rugi itu manusia



4. Kasih sahabat

Aku kasihkan dirimu kawan
Fikiranmu masih dijajah
Budaya mu juga dijajah
Penampilannya mengikut penjajah
Walhal engkau sangat membenci penjajah
Engkau tekuni sejarah tanah aiar
Menjadi sanjungan  sahabat mu
Oleh kerana ilmu yang engkau miliki

Tapi sahabat
Engkau menidak pandangan lain
Engkau menafi khilaf diri
Padahal ianya benar
Kerana ego yang dijanakan
Oleh secebis ilmu jajahan


5. Seketika

Pernah seketika
Ketinggian bagaikan tiada makna
Ketakutan seolah-olah tidak wujud
Kepenatan tiada terasa
Kegembiraan tidak berkesudahan
Detik berlalu adalah keriangan
Malam menjadi siang
Alam menjadi rakan
Kesana kesini bersama
Dan kini ia telah pergi
Segalanya baru bermula
Meninggalkan detik yang seketika itu...

6. Mendengar

Tika aku terpejam
Pandanganku bertukar kelam
Duniaku dirangkul suram
Tapi aku mendengar

Ya, aku mendengar
Setiap butir kata
Tanpa ku tatap penutur kata
Cukap sekadar hatiku celik
Mengenal kawan
membeza lawan


Hanya ini yang mampu aku coretkan. Yang lainnya menjadi hiasan di dinding muka buku Perindu Sepi. Aku hanyalah suara-suara kecil sebalik gempita bahasa.

AKU DAN AWAL TAHUN 2016

Assalamualaikum...


Alhamdulillah berkesempatan lagi menjengah selangkah lagi tahun Masihi iaitu tahun 2016...

Awal tahun 2016 aku tahun ini dimulakan dengan mendaki Bukit Jambul seawal jam 7.30 pagi. Satu tindakan yang positif aku kira kerana pada kebiasaannya waktu ini aku masih diselimuti di atas tilam di dalam bilik. Kali ini aku berpeluang menunggu matahari terbit. Biasanya matahari yang menanti aku bangkit. Aku anggap ini satu permulaan yang positif. Mungkin juga sebagai pembakar semangat untuk aku menawan bukit-bukit dan gunung-gunung yang lain sepanjang 2016. Aktiviti pagi ni cuma aku bersama kawan aku dan sorang budak junior lelaki Palapes dan juga empat orang budak Inter Palapes. Kan aku dah cakap sebelum ni, Palapes ni sebuah keluarga. Berbeza usia dan pangkat tidak menghalang sebuah persahabatan dan  persaudaraan.

Pada hari yang sama juga rakan-rakan coursemate aku ajak pergi hiking Gunung Baling. Memang teringin sangat nak pergi. Tapi aku dah janji dengan kawan nak hiking Bukit Jambul, so terpaksalah aku pendamkan saja hasrat nak hiking G. Baling. Mungkin juga bukan rezeki aku kali ni. In Shaa Allah di lain waktu aku cuba usahakan juga untuk mendaki G. Baling.

Hiking ni sangat menangkan. Penat tapi seronok. Lihat hutan, udara segar dan kepuasan bila dapat lihat permandangan yang cantik. Yang penting juga aktiviti lebih bermanfaat daripada melepak di bilik bersama gajet. Dapat juga eratkan hubungan dengan rakan-rakan.

Dengan Abi di puncak bukit
Itu kisahnya di awal pagi, petangnya pula berita duka datang menyapa. Charger henfon aku rosak! Berita dukanya ialah ia rosak ketika hujung-hujung semester di saat duit semakin menghilang di dalam dompet. Akibatnya selamat menghuni bakul sampah wahai charger. Pengganti mu akan ku cari kemudian hari.

Dan aku juga  telah berjaya menghabiskan bacaan novel ' Kasih Di Kota, Sayang Di Desa''. Sekadar bacaan ringan. Dan jika aku rajin nanti aku akan tulis entri review berkaitan buku nih. Mungkin di tahun baru ni aku akan mulakan aktiviti review buku-buku yang telah aku baca. Sekadar sebuah perkongsian..

Berkenaan dengan azam tahun 2016 aku, akan aku masukkan dalam entri terbaru nanti. Khas entri untuk azam sahaja. Adam, hawa, Ali dan sewaktu dengannya sila main jauh-jauh. Hahaha.

Ok la,, ini sahaja rasanya catatan merapu aku. Seterusnya kita nantikan pula esok dan seterusnya apa akan terjadi. Jika rajin akan aku update hari-hari. Ini kan diari online aku. Pilihan bebas. Nak baca, silakan , taknak baca, ikut suka la. Dah baca tu, terima kasih aku ucapkan. Kalau rajin, tinggalkanlah komen. Okay, jumpa lagi nanti.

Antara kemudahan yang terdapat di puncak.
Open Cbox