Subest Hoki Team : Satu Permulaan

ASSALAMUALAIKUM...

Alhamdulillah... berakhir sudah kejohonan Hoki MSSD peringkat PPD Petaling Perdana 2018. Banyak suda duka yang telah dipotretkan yang akan aku kongsikan dalam lembaran catatan aku yang sunyi, sepi dan tandus ini. Hahaha.

Buat pertama kalinya jadi jurulatih bawa team hoki sekolah menimbulkan perasaan yang pelbagai. Penat itu biasa. Yang paling utama adalah passion. Kalau tak ada passion, aku tak akan buat atau aku akan buat dalam keadaan terpaksa tanpa jiwa. Terubat juga kekecewaan aku sewaktu praktikal apabila sekolah tu tak hantar team hoki. huhu.

Untuk kejohanan ni sekolah aku hantar dua pasukan iaitu lelaki dan perempuan bawah 18 tahun. Sejujurnya, disebabkan oleh kesibukkan dan kekangan masa, aku terpaksa melatih dua pasukan serentak dan malangnya untuk team perempuan apabila aku kurang bagi tumpuan. Pengalaman baru bagi aku, jadi aku masih cuba biasakan diri untuk uruskan perkara sebegini. Mungkin tahun depan, perancangannya lebih baik dan teratur.
Team Hoki perempuan. 

Jamiesha, pelapis seterusnya. Baru pegang kayu hoki tak sampai 2 minggu tapi dah boleh main. Cepat belajar dan semangat


Keputusan untuk team perempuan agak memberangsangkan juga apabila mula memberikan saingan kepada pihak lawan walaupun kecundang di peringkat kumpulan. Ramai pemain baru daripada tingkatan 1 dan 2 yang sengaja aku dan kawan aku masukkan disebabkan mereka mempunyai komitmen dan semangat. Ini sebagai pendedahan kepada mereka memandangkan pada tahun hadapan ramai pemain yang tingkatan 5 akan habis persekolahan. Pelapis awal perlu dicari segera.

Keputusan untuk pasukan lelaki juga positif apabila berjaya sampai hingga ke peringkat separuh akhir berbanding penyertaan sebelum ini yang hanya setakat peringkat kumpulan sahaja. Belum rezeki pasukan lagi untuk menjejakkan kaki ke peringkat akhir. Bagi aku, mereka sudah pun membuktikan sesuatu hingga ke tahap ini.

Dan ini juga merupakan pencapaian baru untuk pasukan hoki sekolah yang belum sampai 10 tahun ditubuhkan dan mereka telah melakar sejarah sekolah. Tahniah.

Berkenaan corak permainan, banyak lagi perlu diperbaiki dan diberikan tumpuan untuk tahun hadapan. Cuma sedikit masalah apabila enam orang pemain akan habis persekolahan dan pelapis-pelapis baru perlu dicari segera. Mungkin hujung tahun nanti selepas habis peperiksaan PT3 sebagaimana di lakukan pada tahun lepas.

Walaupun berlatih dalam keadaan serba kekurangan, namun semangat mereka tetap aku kagumi. Kami tiada padang apatah lagi turf untuk berlatih. Yang ada hanyalah gelanggang bola keranjang dan juga dataran yang menjahanamkan kayu hoki pemain. Mahu atau tidak, terpaksa juga terima.


Senyuman mereka, senyuman semua

Muqri, Alif yahya, Alif Danial, Putera (f4)
Ammar Din, Omar, Ammar Anuar (f3)

Rakan guru

Ketika majlis penyampaian hadiah. They deserve it




Adam, Danish, dan Afif form 2 dan Aiman form 1

Dataran, tempat kedua untuk berlatih.  Kayu jahanam dan bola melatun-lantun itu perkara biasa.

gelanggang bola keranjang yang menjadi tempat utama untuk berlatih

Ayah kepada salah seorang pemain yang  merupakan bekas pemain hoki tempatan memberikan tunjuk ajar kepada para pemain. ilmu yang baik perlu dikongsikan

Acah jer.. wkakaka
Harith, Luqman, Adam, Izzat
Azman & Amir
Memori terakhir bersama Team Hoki Subest dan all the untuk spm 2018


Aku memang dangkal ilmu kejurulatihan ni. Apa yang aku ajar semuanya daripada apa yang aku terima daripada jurulatih aku yang terdahulu terutamanya Dr. Jamal. Apa yang aku ingat aku praktiskan dan cara aku pun banyak dipengaruhi oleh Dr. Jamal atau di turf biasanya aku panggil abang Jamal. Paling aku tertarik berkaitan prinsip 'we are family' yang abang Jamal terapkan dalam team dan aku cuba pula terapkan dalam team aku. 

Terima kasih abang Jamal untuk peluang yang diberikan bersama team hoki usm dan tak lupa juga selamat hari guru. Huhu.

12.15
Khamis, 17/5/2018
1 Ramadhan


Mengapa Air Mata Mengalir?


ASSALAMUALAIKUM

Sedang aku scroll facebook, tiba-tiba mata aku tertumpu pada posting yang dikongsi oleh seorang senior aku sewaktu di bangku persekolahan dahulu yang kini bertugas sebagai guru di sekolah rendah. Beliau berkongsi beberapa keping gambar sewaktu majlis perpisahan beliau di sekolah rendah tersebut. Beliau akan berpindah ke sekolah yang lain di dalam daerah yang sama.

Apa yang aku hendak kongsikan bukanlah tentang beliau dan kerjanya sebagai guru. Sebaliknya dalam banyak-banyak gambar tersebut, mata aku tertancap pada sekeping gambar di mana kelihatan seorang pelajar lelaki dengan muka yang sedih sedang menangis di hadapan cikgu tadi. Ya, budak lelaki itu yang menarik perhatian aku.

Budak lelaki tersebut benar-benar mengimbau alam persekolahan aku dahulu. Masih aku ingat walaupun kurang jelas dan semakin kabur. Dahulu, ketika aku di sekolah rendah, apabila ada sahaja guru yang berpindah, aku akan sebak, sedih dan berakhir dengan tangisan. Ianya berlaku setiap kali ada sahaja guru yang berpindah.

Aku masih ingat cikgu sains aku, namanya cikgu Hakim. Sewaktu dia berpindah, aku sangat sedih. Selepas bersalam aku terus lari ke tandas dan menangis. Entah kenapa aku terlalu emosi. Walhal, aku bukanlah seorang pelajar yang bijak. Malah bukan juga anak murid kesayangan cikgu Hakim.

Begitu juga dengan  teacher Noraini namanya kalau tidak silap aku. Dia mengajar bahasa Inggeris dan aku pernah kena rotan dengannya di kepala di sebabkan aku bengap dalam bahasa Inggeris. Aku memang tak minat bahasa Inggeris. Tetapi ketika dia pindah, air mata aku juga turut mengalir. 

Cikgu matematik yang aku lupa namanya tetapi binti Ariffin sahaja yang aku ingat juga turut berjaya memecahkan tembok air mata aku. Seorang guru yang tegas tetapi penyayang. Tidak seperti teacher Noraini yang garang, dan cikgu Hakim yang sempoi dan ada juga tegasnya mengikut situasi.

Sewaktu sekolah menengah pun masih sama juga, cuma bezanya aku mampu tahan walaupun masih lagi terpaksa ke tandas. Malu rasanya menangis sewaktu di sekolah menengah. Tetapi apakan daya, hati ini mudah tersentuh.

Terfikir juga aku, mengapa mudahnya air mata aku mengalir dan betapa lembutnya hati aku ketika itu. Mungkinkah disebabkan aku kanak-kanak? remaja? atau faktor lain yang mempengaruhi keadaan ketika aku.

Dan air mata itu benar-benar tulus dari hati kerana aku sangat menghargai jasa seorang guru. Mana tidaknya, ketika itu walauapapun yang dilakukan oleh guru sebagai denda dan hukuman, tidak pernah aku menyimpan dendam. Sedikitpun tidak kerana semua itu telah mengajar aku tentang kehidupan. Kesal juga bila difikirkan yang sebenarnya aku perlu terima lebih lagi supaya aku lebih menjadi manusia yang berguna.

Sekian sahaja sedikit perkongsian daripada  pengalaman aku. 

Terima kasih Cikgu, semoga dapat bertemu di lain waktu.


20:20
7 Mei 2018
Subang, Selangor


Di Sebalik Senyuman


-ASSALAMUALAIKUM-

Hari ini aku agak kelam kabut di sekolah. Semalam aku seharian tiada di sekolah kerana membawa pelajar untuk ujian kenaikkan pangkat KRS. Jadi banyaklah kerja aku yang tertangguh dan dicampur dengan 'penangguhan' yang sedia ada. Makin bertimbun jadinya. Padan muka aku untuk itu.

Perkara pertama aku perlu selesaikan adalah memastikan jumlah peserta untuk lawatan ke Rumah Pengasih, Kuala Lumpur mencukupi iaitu 42 orang. Semalam aku telah edarkan enam borang  kepada peserta yang mahu menyertai pada saat terakhir disebabkan terdapatnya beberapa kekosongan. Kebanyakkan daripada mereka sudah beberapa kali bertanya mengenai kekosongan dan nasib mereka baik ada peserta yang menarik diri.

Dan awal pagi ini di dalam kotak di atas meja aku lihat ada enam helai borang beserta duit yuran RM10 yang dikepilkan bersama.  Sudah aku agak mereka akan berbuat begitu. Apa yang menggusarkan aku adalah andai kata duit itu hilang atau dicuri. Bukankah menjadi satu masalah baru pulak. Ah, persetankan semua itu. Yang penting penyertaan sudah cukup. Aku terus menyemak borang satu persatu dan muncul pula masalah lain.

Ada satu borang pelajar lelaki namanya  ditulis tidak lengkap iaitu  tanpa bin. Nama yang ditulis adalah Faris Izani (bukan nama sebenar). Aku geleng kepala. Pelajar ini aku kenal. Sudah beberapa kali bertanya kepada aku sama ada masih ada kekosongan ataupun tidak. Teruja dia untuk dapat bersama menyertai lawatan ke Rumah Pengasih. Borang dia aku asingkan ke tepi. Aku minta pelajar lain untuk panggilkan dia di dalam kelas untuk berjumpa aku bagi membetulkan semula maklumat pada borang. Melengkapkan maklumat pada borang kebenaran yang sangat penting bagi pelajar sekolah untuk melibatkan diri dengan aktiviti luar. Malangnya dia tiada di dalam kelas.

Lawatan diteruskan dengan bilangan peserta seramai 41 orang beserta 3 orang guru pengiring termasuk aku. Bas bertolak dari sekolah ketika matahari hampir tegak di atas kepala.

Selesai lawatan ke Muzium Polis kami terus bergerak ke Rumah Pengasih. Program habis lebih kurang pukul 5 lebih. Untuk ke rumah pengasih bas perlu diparkir di jalan di atas dan perlu menuruni bukit daripada jalan besar di atas. Ketika sedang berjalan kaki mendaki bukit menuju ke bas, aku yang berada di belakang sekali menegur Fairus.

''Kau apasal isi borang tak lengkap?'' tegur aku nada suara yang bergurau. Sememangnya aku suka bergurau begitu dengan mereka yang aku kenal.

''Mana ada. Apa yang tak lengkap?'' tanya dia kembali hairan

''Nama tak penuh. Kau tulis dua perkataan sahaja. Mana bin? '' jelas aku.

''Cikgu, nama dia memang macam tu la. kalau tak percaya tengok ic'' terang kawan disebelahnya yang turut jalan bersama aku. Kami bertiga di belakang sekali.

''Sini ic. cikgu nak tengok.'' pinta aku. Fairus menyeluk poketnya lalu mengeluarkan wallet kelabu miliknya. Malu-malu dia menyerahkan ic kepada aku. Tidak lekang dengan senyuman di bibir. Aku capai dan perhatikan. Patutlah dia malu-malu, rupanya gambar Fairus di dalam ic sedikit tembam berbanding dengan rupa dia yang sekarang. Aku ketawa perlahan.

Betul la dalam kad pengenalan dia memang cuma tertera dua perkataan sahaja. Pelbagai persoalan mula menerjah benak aku. ayat di atur dan aku mula bertanya.

''Kenapa tak ada nama ayah?'' Soal aku.

''Mak dah padam nama ayah.''Jawab dia bersahaja. Masih dengan senyumannya.

''Hah,? kenapa pulak mak nak padam nama ayah?" Terkejut aku mendengar jawapannya. Seperti ada kisah disebalik semua itu Tidak menunggu lama, aku terus bertanya lanjut.

''Ayah dulu pernah macam ni. Ayah penagih dadah.'' riak wajahnya sedikit berubah. Mungkin malu dengan apa yang diceritakan kepada aku tadi.Tetapi masih cuba diselindung disebalik senyumannya. Dia memang seorang yang suka tersenyum. Tapi siapa sangka, di sebalik senyuman tu tersimpan duka yang dalam

''Oh...'' Jawab aku ringkas. Seketika aku kehilangan kata. Aku cuba mengawal perasaan. Terkejut dan emosi aku mula larut. Empati mula menjiwai aku.  Seolah aku juga turut merasa apa yang dirasai oleh Fairus. Aku kembali menyoal.

''Boleh pulak padam nama macam tu ek. Tak tahu pulak cikgu.'' Sengaja suara aku ceriakan.

''Ayah dah meninggal waktu saya lahir tu.'' Bertambah sebak aku mengetahui dia adalah anak yatim. Sepertinya aku mahu peluk Fairus seeratnya sambil memberikan kata semangat. Tetapi aku tidak jadi melakukanya kerana kemungkinan besar takungan jernih kelopak mata aku akan pecah dan berderai.

''Habistu, yang nama pada borang tu siapa? Izani ni sapa?'' Soal aku lagi merujuk keoada borang yang dihantar Fairus.

''Yang tu ayah angkat. '' Jawabnya ringkas.

''Jadi kau tinggal sekrang dengan ayah angkat la?''

''Aha. Saya pun dulu baru tahu saya ni anak angkat sebab saya dengar ayah angkat saya cakap dia ni penjaga saya bila ada orang tanya.'' terangnya lanjut.

'' Habistu, adik-adik yang lain sama jugak ke nama macam ni? Mak padam nama ayah?''

''Tak la. Saya sorang je, Saya anak tunggal.''

''Maksudnya...''

''Waktu saya lahir tu ayah dah tak da dah.'' Sambung dia lagi apabila melihat wajah aku yang semakin keliru.

''Ohh...'' Aku diam menyusun kata.

''Tinggal dengan ayah angkat kan. Lepastu mak tu mak kandung kan.''

''Tak, mak angkat jugak''

'' Eh, mana mak kandung?'' Aku makin keliru.

'' Waktu saya lahir tu ayah dah takda. Lepastu mak susah macam tak mampu nak jaga saya. Jadi mak serah saya pada abang dia untuk jaga saya.''

''Oh, kiranya mak kandung masih ada la kan''

''Aha..''

''Tahu ke dia kat mana sekarang?'' dia hanya menggeleng.

''Ayah angkat mesti tahu kan.'' Fairus mengiyakan. '' Tapi mesti dia saja taknak beritahu kan'' tambah aku lagi. Fairus mengangguk sambil tersenyum.

Buat seketika kami berdua terdiam. Aku larut dalam persoalan. Manakala Fairus mungkin larut dalam memori silam.

Kami sudah semakin hampir dengan bas. Pelajar lain sudah menaiki bas. Rakan aku dihadapan emlaung menyuruh kami cepat. Aku buat tidak endah. Cerita ini lebih menarik perhatian aku.

''Bagus juga dia tak beritahu, nanti sampai masanya mesti dia beritahu.'' sambung aku sebelum kami sampai kepada bas. Dan perbualan kami terus berakhir di situ. Dia tersenyum sahaja kepada aku dan terus menaiki bas.

Tanpa aku sangka tanpa aku duga,dalam diam ada yang menyimpan duka. Mungkin atas alasan itu juga dia begitu teruja untuk turut serta menyertai lawatan.

Begitulah perbualan ringkas aku bersama Fairus yang aku kira memberikan persepsi baru kepada aku. Aku mengenali Fairus sejak di tingkatan tiga lagi dan sekarang dia di tingatan empat. Tahun lepas aku perhatikan, Dia sememangnya suka tersenyum. Mungkin juga itu adalah kekuatan dia untuk melupakan kepahitan yang di rasai. Pertanyaan aku sedikit sebanyak pastinya merobek kembali luka-luka lama.

Aku harap dia terus tabah. Dan pastinya suatu hari nanti dia mahu bertemu semula dengan ibu kandungnya walau siapa pun dia dan dimana dia berada.Sejujurnya aku sebak mendengar cerita dia.

Buat Fairus, andai kata kamu terjumpa catatan ini  walaupun nama telah diubah, pastinya kamu tahu kisah ini tentang diri kamu. Cikgu doakan kamu berjaya suatu hari nanti.


23 APRIL 2018

Open Cbox