Gam Air atau Gam Cair?

Assalamualaikum...................

Topik hari ni adalah berkaitan gam. Bukannya aku nak senaraikan jenis-jenis gam yang terdapat dalam dunia. Bukan juga aku nak ajar cara- cara nak buat gam. Dan jauh sekali la aku nak ajar cara menghidu gam. Aku pun tak pernah cuba. Anda pernah? Anda bangang. Full stop.

Kisahnya begini.... Ada satu hari tu budak-budak tingkatan tiga ada ujian mendengar Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Jadi mereka dikuarantin di dalam makmal biologi. Bukan jadi bahan ujikaji ek. Tapi kalau nak buat pun, aku rasa mereka ni sesuai je. HAHAHA.

Hari tu aku ada kelas dengan mereka. Dan kami berada di makmal yang pertama kali aku masuk setelah setahun lebih di sekolah ni. Hahaha. Dan aku sedikit jakun. Ye la kan tempat baru. Mesti la inkuiri tu kuat. Kalau tidak mana mungkin penjelajah barat datang ke asia tenggara. Eh, dah
 masuk bab sejarah pulak. Lupakan yang itu.

Bila dalam makmal aku memang tak ada planning nak mengajar apa-apa. lagipun  mereka baru habis ujian. Jadi aku buat pengumuman. Maklumlah dah lama tak belajar sejarah setelah mereka bertungkus lumus dengan tugasan sejarah dan geografi. '' Esok semua bawa gam cair. Cikgu nak bagi bahan edaran sejarah untuk PBS.''. Dan kemudian mereka bereaksi dengan muka pelik. Berkerut dahi. Aku pula terkejut. Sepertinya aku telah menyebut suatu perkataan yang pelik pada pendengaran mereka.  '' Gam cair? gam air laaa cikgu'' balas mereka secara beramai-ramai secara tidak serentak. Aku tercengang.

''Ehh, betul la gam cair.''

'' Bukan la cikgu. Gam airrr la..''

Kami berbalah beberapa ketika. Masing-masing tidak mahu kalah. Melawan betul mereka ni. Siapa la guru tingkatan mereka agaknya. Aku tak puas hati dan masih mempertahankan gam cair. Mereka sebaliknya secara bersatu padu mempertahankan gam air. ahh, aku tak boleh kalah. Aku keluarkan telefon dan mula google. Aku taip gam cair. Dan hasilnya memang keluar gambar berkaitan gam cair. Atau juga dipangggil glu gam. Kemudian aku google pula gam air. Dan hasilnya.....

Aku berusaha menahan ketawa walaupun tidak mampu. Merah muka aku (walaupun kulit aku...hmmm.. kau diam!) Dan hampir menitis air mata aku. Mereka pelik melihat aku ketawa. Aku beritahu mereka keputusannya apabila aku taip gam air. Apa yang terpapar adalah gambar-gambar pesawat pejuang. Gambar kapal terbang. Tidak ada satu pun gambar gam. HAHAHA.. Kemenangan berpihak kepada aku. Yeahhh... Dan aku masih ketawa.

Kalau nak tahu, sebelum ni pun aklau di eklas lain bila aku cakap gam cair, semua menunjukkan muka minta penampar. Eh, hairan betul aku. Tapi tak apa la, sekarang dah terbukti yang aku cakap benda benar. Bukan aku yang pelik, tapi mereka yang pelik.

Habis cerita pasal gam. Bye.

INSAF ORANG MUDA




Ini buktinya. hahaha
Sedang leka aku membelek telefon pintar aku di dalam bilik berhawa dingin, tiba-tiba satu panggilan masuk. Aku hairan kerana minggu ni aku kerap menerima panggilan daripada pemanggil yang sama sahaja. Suatu perkara yang jarang-jarang berlaku. Aku jawab dan rupanya dia hendak mengingatkan aku. katanya '' buka telegram sekarang. Nama kau naik. Kena pergi jumpa bos sekarang.'' Aku sedikit terperanjat. Nama aku naik lagi tetapi atas alasan apa aku belum tahu.

Panggilan segera dimatikan dan aku terus memeriksa telegram. Dan ternyata benar nama aku termasuk dalam senarai bersama beberapa nama yang lain. Kebetulan aku tiada kelas ketika itu, terus sahaja aku ke pejabat dengan  wajah yang tenang sambil otak ligat mencari alasan-alasan yang boleh diguna pakai nanti.

Sampai di bilik bos aku ketuk pintu dan minta kebenaran untuk masuk. Apabila sudah berhadapan baru aku tahu rupanya kes datang  kerja lewat. Nama aku naik. Aku perlu hadir atau thumb print sebelum jam 7.20 pagi. Tetapi dalam bulan dan minggu tersebut banyak jugak yang melepasi waktu yang ditetapkan.

Apabila disoal, aku beri alasan bangun lambat. Hanya itu alasan yang terbaik dan relevan daripada senarai panjang alasan yang aku berjaya cipta. Jalan jem? sangat tidak relevan kerana jarak rumah sewa aku dan tempat kerja sekitar 5 minit sahaja dan bukanlah jalan utama yang sibuk. Hujan? pun tidak boleh diterima walaupun aku naik motosikal kerana cuaca memang baik. Bukan musim hujan.

Jadi alasan  bangun lambat sahaja yang benar-benar sesuai disebabkan aku masih bujang. Setelah tandatangan surat  amaran dan  diceramah beberapa perenggan aku terus beredar daripada bilik  bos dan menyambung kembali kerja yang tergendala sambil disapa rakan sekerja apabila berselisih.

Keesokannya iaitu hari terakhir persekolahan sebelum cuti penggal kedua dan juga raya Aidil Adha, aku menjadi orang keempat terawal yang thumb print. Buat pertama kali, aku berada di top 5 dengan catatan masa 6.53 pagi. HAHAHA. Sampai terkejut kawan-kawan aku yang datang kemudiannya.

Kenapa aku katakan insaf orang muda? tunggu dan lihat la nanti selepas buka sekolah cuti pertengahan  penggal kedua. Anda akan tahu jawapannya. HAHAHA.

Sekian saja coretan ringkas seringkas peristiwa yang berlaku.

Air, Hujan dan Telur

Alkisahnya hari ini aku berbuka puasa tanpa minum air. Ya, ini bukan kisah dongeng.  Ceritanya begini.......

Sejak petang hujan lebat dan aku tak ada simpan air mineral. Simpanan yang ada dah dua hari habis. Hujan sejak petang membawa ke malam menyebabkan aku terpaksa juga masak nasi sendiri. Bila masak nasi confidence level aku automatic drop. Masalah bila nak sukat air banyak mana nak kena letak. Kalau kurang nasi akan mentah, kalau lebih nasi jadi bubur. Dilema aku dibuatnya.

Nasi ni pulak bahagian paling utama. Apa lah gunanya lauk berlambak masak atau beli, tapi nasi takdak, nasi lembik or mentah? Kecuali la ada ayam goreng boleh jugak meratah. Hahaha.

Kembali kepada nasi tadi, hasilnya nasi tu memang lembik tapi aku pelahap jugak la. Menu aku simple je. Daging rebus cicah budu, sambal bilis dan juga isi ayam goreng celup tepung bestari. Air? Kan dah cakap air takdak.

Habis makan aku rehat tengok movie sambil tunggu hujan berhenti. Lepas hujan berhenti kira kira pukul 10 malam aku bersiap keluar untuk minum kat kedai mamak depan flat ni. Kalau aku tak minum dan andaikata sahur esok tak terjaga, alamatnya habis merekah la bibir aku. Pedih tahu tak.

Sampai kedai mamak aku singgah kedai runcit dulu beli air mineral dan telur ayam untuk buat stock. Waktu tengah pilih telur ayam dan masukkan dalam plastik, secara tak sengaja telur tu berlaga dengan kayu rak. Aku check dan ada rekahan pada telur. Aku keluarkan telur tu letak semula dalam papan telur dan aku ambik yang baru.

Waktu tu jugak la tiba-tiba taik cicak yang segar bugar jatuh atas tangan kiri aku yang sedang pegang plastik telo. Aku tak terus lap, aku ambik balik telur retak tadi dan masukkan semula dalam plastik aku. Sebab aku fikir, ini mungkin petanda atau teguran untuk aku berlaku jujur. Iye lah, kalau telur retak tadi aku biarkan, nanti bila ada orang lain beli dan telur tu dan rosak or busuk pastinya aku telah menganiaya pembeli tu. Itu apa yang aku fikirkan la yang membawa kepada tindakan refleks aku.

Pekerja yang jaga kat kaunter pula sedang membaca al quran. Fuhh, lain macam rasa apa yang ditunjukkan pada aku hari ni. Habis membeli aku terus ke kedai mamak yang bersebelahan lantak memesan segelas jus oren dan sky juice bagi menghilangkan haus sambil menaip entry blog ni. Huhuhu.

Itu sahaja yang aku nak kongsikan. Moral of the story pada diri aku, berlakulah jujur kepada diri dan orang sekeliling. Perkara remeh pada pandangan kita, belum tentu temeh pada pandangan yang lain.

Untuk bersahur esok, aku cuma panaskan saja apa yang ada tadi. Lagipun aku dalam proses mengurangkan makan dan mengembalikan tubuh aku kepada saat gemilang dahulum ceeewahh...pooorahhhh.. bye assalamualaikum.

Subest Hoki Team : Satu Permulaan

ASSALAMUALAIKUM...

Alhamdulillah... berakhir sudah kejohonan Hoki MSSD peringkat PPD Petaling Perdana 2018. Banyak suda duka yang telah dipotretkan yang akan aku kongsikan dalam lembaran catatan aku yang sunyi, sepi dan tandus ini. Hahaha.

Buat pertama kalinya jadi jurulatih bawa team hoki sekolah menimbulkan perasaan yang pelbagai. Penat itu biasa. Yang paling utama adalah passion. Kalau tak ada passion, aku tak akan buat atau aku akan buat dalam keadaan terpaksa tanpa jiwa. Terubat juga kekecewaan aku sewaktu praktikal apabila sekolah tu tak hantar team hoki. huhu.

Untuk kejohanan ni sekolah aku hantar dua pasukan iaitu lelaki dan perempuan bawah 18 tahun. Sejujurnya, disebabkan oleh kesibukkan dan kekangan masa, aku terpaksa melatih dua pasukan serentak dan malangnya untuk team perempuan apabila aku kurang bagi tumpuan. Pengalaman baru bagi aku, jadi aku masih cuba biasakan diri untuk uruskan perkara sebegini. Mungkin tahun depan, perancangannya lebih baik dan teratur.
Team Hoki perempuan. 

Jamiesha, pelapis seterusnya. Baru pegang kayu hoki tak sampai 2 minggu tapi dah boleh main. Cepat belajar dan semangat


Keputusan untuk team perempuan agak memberangsangkan juga apabila mula memberikan saingan kepada pihak lawan walaupun kecundang di peringkat kumpulan. Ramai pemain baru daripada tingkatan 1 dan 2 yang sengaja aku dan kawan aku masukkan disebabkan mereka mempunyai komitmen dan semangat. Ini sebagai pendedahan kepada mereka memandangkan pada tahun hadapan ramai pemain yang tingkatan 5 akan habis persekolahan. Pelapis awal perlu dicari segera.

Keputusan untuk pasukan lelaki juga positif apabila berjaya sampai hingga ke peringkat separuh akhir berbanding penyertaan sebelum ini yang hanya setakat peringkat kumpulan sahaja. Belum rezeki pasukan lagi untuk menjejakkan kaki ke peringkat akhir. Bagi aku, mereka sudah pun membuktikan sesuatu hingga ke tahap ini.

Dan ini juga merupakan pencapaian baru untuk pasukan hoki sekolah yang belum sampai 10 tahun ditubuhkan dan mereka telah melakar sejarah sekolah. Tahniah.

Berkenaan corak permainan, banyak lagi perlu diperbaiki dan diberikan tumpuan untuk tahun hadapan. Cuma sedikit masalah apabila enam orang pemain akan habis persekolahan dan pelapis-pelapis baru perlu dicari segera. Mungkin hujung tahun nanti selepas habis peperiksaan PT3 sebagaimana di lakukan pada tahun lepas.

Walaupun berlatih dalam keadaan serba kekurangan, namun semangat mereka tetap aku kagumi. Kami tiada padang apatah lagi turf untuk berlatih. Yang ada hanyalah gelanggang bola keranjang dan juga dataran yang menjahanamkan kayu hoki pemain. Mahu atau tidak, terpaksa juga terima.


Senyuman mereka, senyuman semua

Muqri, Alif yahya, Alif Danial, Putera (f4)
Ammar Din, Omar, Ammar Anuar (f3)

Rakan guru

Ketika majlis penyampaian hadiah. They deserve it




Adam, Danish, dan Afif form 2 dan Aiman form 1

Dataran, tempat kedua untuk berlatih.  Kayu jahanam dan bola melatun-lantun itu perkara biasa.

gelanggang bola keranjang yang menjadi tempat utama untuk berlatih

Ayah kepada salah seorang pemain yang  merupakan bekas pemain hoki tempatan memberikan tunjuk ajar kepada para pemain. ilmu yang baik perlu dikongsikan

Acah jer.. wkakaka
Harith, Luqman, Adam, Izzat
Azman & Amir
Memori terakhir bersama Team Hoki Subest dan all the untuk spm 2018


Aku memang dangkal ilmu kejurulatihan ni. Apa yang aku ajar semuanya daripada apa yang aku terima daripada jurulatih aku yang terdahulu terutamanya Dr. Jamal. Apa yang aku ingat aku praktiskan dan cara aku pun banyak dipengaruhi oleh Dr. Jamal atau di turf biasanya aku panggil abang Jamal. Paling aku tertarik berkaitan prinsip 'we are family' yang abang Jamal terapkan dalam team dan aku cuba pula terapkan dalam team aku. 

Terima kasih abang Jamal untuk peluang yang diberikan bersama team hoki usm dan tak lupa juga selamat hari guru. Huhu.

12.15
Khamis, 17/5/2018
1 Ramadhan


Mengapa Air Mata Mengalir?


ASSALAMUALAIKUM

Sedang aku scroll facebook, tiba-tiba mata aku tertumpu pada posting yang dikongsi oleh seorang senior aku sewaktu di bangku persekolahan dahulu yang kini bertugas sebagai guru di sekolah rendah. Beliau berkongsi beberapa keping gambar sewaktu majlis perpisahan beliau di sekolah rendah tersebut. Beliau akan berpindah ke sekolah yang lain di dalam daerah yang sama.

Apa yang aku hendak kongsikan bukanlah tentang beliau dan kerjanya sebagai guru. Sebaliknya dalam banyak-banyak gambar tersebut, mata aku tertancap pada sekeping gambar di mana kelihatan seorang pelajar lelaki dengan muka yang sedih sedang menangis di hadapan cikgu tadi. Ya, budak lelaki itu yang menarik perhatian aku.

Budak lelaki tersebut benar-benar mengimbau alam persekolahan aku dahulu. Masih aku ingat walaupun kurang jelas dan semakin kabur. Dahulu, ketika aku di sekolah rendah, apabila ada sahaja guru yang berpindah, aku akan sebak, sedih dan berakhir dengan tangisan. Ianya berlaku setiap kali ada sahaja guru yang berpindah.

Aku masih ingat cikgu sains aku, namanya cikgu Hakim. Sewaktu dia berpindah, aku sangat sedih. Selepas bersalam aku terus lari ke tandas dan menangis. Entah kenapa aku terlalu emosi. Walhal, aku bukanlah seorang pelajar yang bijak. Malah bukan juga anak murid kesayangan cikgu Hakim.

Begitu juga dengan  teacher Noraini namanya kalau tidak silap aku. Dia mengajar bahasa Inggeris dan aku pernah kena rotan dengannya di kepala di sebabkan aku bengap dalam bahasa Inggeris. Aku memang tak minat bahasa Inggeris. Tetapi ketika dia pindah, air mata aku juga turut mengalir. 

Cikgu matematik yang aku lupa namanya tetapi binti Ariffin sahaja yang aku ingat juga turut berjaya memecahkan tembok air mata aku. Seorang guru yang tegas tetapi penyayang. Tidak seperti teacher Noraini yang garang, dan cikgu Hakim yang sempoi dan ada juga tegasnya mengikut situasi.

Sewaktu sekolah menengah pun masih sama juga, cuma bezanya aku mampu tahan walaupun masih lagi terpaksa ke tandas. Malu rasanya menangis sewaktu di sekolah menengah. Tetapi apakan daya, hati ini mudah tersentuh.

Terfikir juga aku, mengapa mudahnya air mata aku mengalir dan betapa lembutnya hati aku ketika itu. Mungkinkah disebabkan aku kanak-kanak? remaja? atau faktor lain yang mempengaruhi keadaan ketika aku.

Dan air mata itu benar-benar tulus dari hati kerana aku sangat menghargai jasa seorang guru. Mana tidaknya, ketika itu walauapapun yang dilakukan oleh guru sebagai denda dan hukuman, tidak pernah aku menyimpan dendam. Sedikitpun tidak kerana semua itu telah mengajar aku tentang kehidupan. Kesal juga bila difikirkan yang sebenarnya aku perlu terima lebih lagi supaya aku lebih menjadi manusia yang berguna.

Sekian sahaja sedikit perkongsian daripada  pengalaman aku. 

Terima kasih Cikgu, semoga dapat bertemu di lain waktu.


20:20
7 Mei 2018
Subang, Selangor


Di Sebalik Senyuman


-ASSALAMUALAIKUM-

Hari ini aku agak kelam kabut di sekolah. Semalam aku seharian tiada di sekolah kerana membawa pelajar untuk ujian kenaikkan pangkat KRS. Jadi banyaklah kerja aku yang tertangguh dan dicampur dengan 'penangguhan' yang sedia ada. Makin bertimbun jadinya. Padan muka aku untuk itu.

Perkara pertama aku perlu selesaikan adalah memastikan jumlah peserta untuk lawatan ke Rumah Pengasih, Kuala Lumpur mencukupi iaitu 42 orang. Semalam aku telah edarkan enam borang  kepada peserta yang mahu menyertai pada saat terakhir disebabkan terdapatnya beberapa kekosongan. Kebanyakkan daripada mereka sudah beberapa kali bertanya mengenai kekosongan dan nasib mereka baik ada peserta yang menarik diri.

Dan awal pagi ini di dalam kotak di atas meja aku lihat ada enam helai borang beserta duit yuran RM10 yang dikepilkan bersama.  Sudah aku agak mereka akan berbuat begitu. Apa yang menggusarkan aku adalah andai kata duit itu hilang atau dicuri. Bukankah menjadi satu masalah baru pulak. Ah, persetankan semua itu. Yang penting penyertaan sudah cukup. Aku terus menyemak borang satu persatu dan muncul pula masalah lain.

Ada satu borang pelajar lelaki namanya  ditulis tidak lengkap iaitu  tanpa bin. Nama yang ditulis adalah Faris Izani (bukan nama sebenar). Aku geleng kepala. Pelajar ini aku kenal. Sudah beberapa kali bertanya kepada aku sama ada masih ada kekosongan ataupun tidak. Teruja dia untuk dapat bersama menyertai lawatan ke Rumah Pengasih. Borang dia aku asingkan ke tepi. Aku minta pelajar lain untuk panggilkan dia di dalam kelas untuk berjumpa aku bagi membetulkan semula maklumat pada borang. Melengkapkan maklumat pada borang kebenaran yang sangat penting bagi pelajar sekolah untuk melibatkan diri dengan aktiviti luar. Malangnya dia tiada di dalam kelas.

Lawatan diteruskan dengan bilangan peserta seramai 41 orang beserta 3 orang guru pengiring termasuk aku. Bas bertolak dari sekolah ketika matahari hampir tegak di atas kepala.

Selesai lawatan ke Muzium Polis kami terus bergerak ke Rumah Pengasih. Program habis lebih kurang pukul 5 lebih. Untuk ke rumah pengasih bas perlu diparkir di jalan di atas dan perlu menuruni bukit daripada jalan besar di atas. Ketika sedang berjalan kaki mendaki bukit menuju ke bas, aku yang berada di belakang sekali menegur Fairus.

''Kau apasal isi borang tak lengkap?'' tegur aku nada suara yang bergurau. Sememangnya aku suka bergurau begitu dengan mereka yang aku kenal.

''Mana ada. Apa yang tak lengkap?'' tanya dia kembali hairan

''Nama tak penuh. Kau tulis dua perkataan sahaja. Mana bin? '' jelas aku.

''Cikgu, nama dia memang macam tu la. kalau tak percaya tengok ic'' terang kawan disebelahnya yang turut jalan bersama aku. Kami bertiga di belakang sekali.

''Sini ic. cikgu nak tengok.'' pinta aku. Fairus menyeluk poketnya lalu mengeluarkan wallet kelabu miliknya. Malu-malu dia menyerahkan ic kepada aku. Tidak lekang dengan senyuman di bibir. Aku capai dan perhatikan. Patutlah dia malu-malu, rupanya gambar Fairus di dalam ic sedikit tembam berbanding dengan rupa dia yang sekarang. Aku ketawa perlahan.

Betul la dalam kad pengenalan dia memang cuma tertera dua perkataan sahaja. Pelbagai persoalan mula menerjah benak aku. ayat di atur dan aku mula bertanya.

''Kenapa tak ada nama ayah?'' Soal aku.

''Mak dah padam nama ayah.''Jawab dia bersahaja. Masih dengan senyumannya.

''Hah,? kenapa pulak mak nak padam nama ayah?" Terkejut aku mendengar jawapannya. Seperti ada kisah disebalik semua itu Tidak menunggu lama, aku terus bertanya lanjut.

''Ayah dulu pernah macam ni. Ayah penagih dadah.'' riak wajahnya sedikit berubah. Mungkin malu dengan apa yang diceritakan kepada aku tadi.Tetapi masih cuba diselindung disebalik senyumannya. Dia memang seorang yang suka tersenyum. Tapi siapa sangka, di sebalik senyuman tu tersimpan duka yang dalam

''Oh...'' Jawab aku ringkas. Seketika aku kehilangan kata. Aku cuba mengawal perasaan. Terkejut dan emosi aku mula larut. Empati mula menjiwai aku.  Seolah aku juga turut merasa apa yang dirasai oleh Fairus. Aku kembali menyoal.

''Boleh pulak padam nama macam tu ek. Tak tahu pulak cikgu.'' Sengaja suara aku ceriakan.

''Ayah dah meninggal waktu saya lahir tu.'' Bertambah sebak aku mengetahui dia adalah anak yatim. Sepertinya aku mahu peluk Fairus seeratnya sambil memberikan kata semangat. Tetapi aku tidak jadi melakukanya kerana kemungkinan besar takungan jernih kelopak mata aku akan pecah dan berderai.

''Habistu, yang nama pada borang tu siapa? Izani ni sapa?'' Soal aku lagi merujuk keoada borang yang dihantar Fairus.

''Yang tu ayah angkat. '' Jawabnya ringkas.

''Jadi kau tinggal sekrang dengan ayah angkat la?''

''Aha. Saya pun dulu baru tahu saya ni anak angkat sebab saya dengar ayah angkat saya cakap dia ni penjaga saya bila ada orang tanya.'' terangnya lanjut.

'' Habistu, adik-adik yang lain sama jugak ke nama macam ni? Mak padam nama ayah?''

''Tak la. Saya sorang je, Saya anak tunggal.''

''Maksudnya...''

''Waktu saya lahir tu ayah dah tak da dah.'' Sambung dia lagi apabila melihat wajah aku yang semakin keliru.

''Ohh...'' Aku diam menyusun kata.

''Tinggal dengan ayah angkat kan. Lepastu mak tu mak kandung kan.''

''Tak, mak angkat jugak''

'' Eh, mana mak kandung?'' Aku makin keliru.

'' Waktu saya lahir tu ayah dah takda. Lepastu mak susah macam tak mampu nak jaga saya. Jadi mak serah saya pada abang dia untuk jaga saya.''

''Oh, kiranya mak kandung masih ada la kan''

''Aha..''

''Tahu ke dia kat mana sekarang?'' dia hanya menggeleng.

''Ayah angkat mesti tahu kan.'' Fairus mengiyakan. '' Tapi mesti dia saja taknak beritahu kan'' tambah aku lagi. Fairus mengangguk sambil tersenyum.

Buat seketika kami berdua terdiam. Aku larut dalam persoalan. Manakala Fairus mungkin larut dalam memori silam.

Kami sudah semakin hampir dengan bas. Pelajar lain sudah menaiki bas. Rakan aku dihadapan emlaung menyuruh kami cepat. Aku buat tidak endah. Cerita ini lebih menarik perhatian aku.

''Bagus juga dia tak beritahu, nanti sampai masanya mesti dia beritahu.'' sambung aku sebelum kami sampai kepada bas. Dan perbualan kami terus berakhir di situ. Dia tersenyum sahaja kepada aku dan terus menaiki bas.

Tanpa aku sangka tanpa aku duga,dalam diam ada yang menyimpan duka. Mungkin atas alasan itu juga dia begitu teruja untuk turut serta menyertai lawatan.

Begitulah perbualan ringkas aku bersama Fairus yang aku kira memberikan persepsi baru kepada aku. Aku mengenali Fairus sejak di tingkatan tiga lagi dan sekarang dia di tingatan empat. Tahun lepas aku perhatikan, Dia sememangnya suka tersenyum. Mungkin juga itu adalah kekuatan dia untuk melupakan kepahitan yang di rasai. Pertanyaan aku sedikit sebanyak pastinya merobek kembali luka-luka lama.

Aku harap dia terus tabah. Dan pastinya suatu hari nanti dia mahu bertemu semula dengan ibu kandungnya walau siapa pun dia dan dimana dia berada.Sejujurnya aku sebak mendengar cerita dia.

Buat Fairus, andai kata kamu terjumpa catatan ini  walaupun nama telah diubah, pastinya kamu tahu kisah ini tentang diri kamu. Cikgu doakan kamu berjaya suatu hari nanti.


23 APRIL 2018

INI JUGA SECEBIS KENANGAN


Sekadar gambar hiasan : 

''Asal muka ko cuak?" tegur seorang guru wanita yang sedang duduk di bawah khemah pendaftaran peserta.

Aku yang ketika itu sedang bersedia di atas balapan untuk acara 4x100M pegawai kejohanan cuba mengukir senyum. Kenapa aku nerves?

Antara sebabnya adalah dah lama tak lari dalam acara pecut. Dan aku memang tak hebat pun dalam acara ni. HAHA. Aku ni dah makin berusia. dah la makin berusia, malas senaman pulak tu. Lepas habis training palapes aku dah jarang buat aktiviti fizikal. Ditambah pulak dengan lutut yang belum pulih lagi.

Yang sebenarnya aku memang takut sebab aku dapat bahagian selekoh dan juga lutut kiri aku yang masih belum pulih. Mahu atau tidak terpaksa la aku redah. Dan hasilnya, bergolek la seorang manusia berbaju putih biru  di atas trek balapan. Ayuh, kita gelakkan dia. HAHAHA. Okay, habis dah gelakkan dia.

Dan, akhirnya team aku dapat nombor tiga. Wah, mengejutkan walaupun aku jatuh bergolek. Semuanya disebabkan oleh pelari ketiga dan keempat serta peserta ketiga dan keempat yang terdiri daripada bapa-bapa pelajar. Jadi, ada kelebihan disitu.

Selepas habis acara, macam biasa la aku terus diajukan dengan soalan ''kenapa jatuh? macam mana boleh jatuh?'' sama ada daripada pelajar maupun rakan guru. Aku hanya tersenyum dan cuba membalas seringkas mungkin. Apabila diperiksa, kedua belah lutut cedera dan paling teruk lutut kanan. Melebih pulak aku padahal tak la teruk sangat. Tapi faham sendiri la kan tereret atas trek balapan. Mujurlah seluar tak koyak. Kelebihan la tu beli seluar mahal. Haha.

Gambar tak ada la nak tunjuk sebab bahagian lutut. Lepas habis acara tu aku terus duduk di kerusi penonton sambil main fon dan rehat. Makin lama aku rasa makin pening. Macam nak muntah. Macam nak pitam pun ada. Jalan pun rasa terhuyung hayang. Aku pergi tandas tapi tak muntah pulak. Pening makin kuat. Aku baring atas bangku dibilik persalinan dan pejam mata lebih kurang sepuluh minit. Bila bangun aku rasa segar sikit.

Dan, acara kat penutup kat luar pun dah habis. HAHAHA.

Paling aku tak sangka apabila team kawad kaki KRS menang perbarisan. Yang bagusnya, mereka usaha sendiri. Gimik, latihan, alatan semuanya diusahakan sendiri. Jadi, tahniah la untuk mereka.

Rumah sukan aku tak pegang mana-mana rumah sukan. Aku cuma jadi ahli jawatankuasa sukan sahaja. Dan tugas aku adalah berkaitan dengan perbarisan dan protokol yang mana aku lihat protokolnya sangat ringkas. Tidak seperti di sekolah lama aku yang mana protokolnya agak komplikated. Tetapi tidak mengapa, lain tempat lain caranya.

Dannnnnn... aku baru tahu rupanya siap ada video lagi aku jatuh tergolek tu. Nak tengok ker? HAHAHA. nanti la kaalu rajin aku upload. Tapi kat instagram aku dah ada. Jadi la, buat kenangan.


Akhir kata, walaupun jatuh dan diketawakan, aku sedikitpun tidak peduli. Jatuh itu biasa. Semua orang jatuh. Yang membezakan dengan yang lain adalah sama ada kita bangun atau tidak dan bagaimana kita kembali bangkit. Cewahh.. dah la, malas aku nak cakap banyak. Keja lain banyak lagi ni. Bye, Assalamualaikum.

Open Cbox