4 SAINS 1 - KUPASAN SEBUAH MEMORI

Assalamualaikum.....


Sebelum aku teruskan dengan intipati utama entri kali ini, izinkan terlebih dahulu untuk aku imbas kembali sejenak masa lalu yang membuatkan entri ini perlui diwujudkan. Hahaha.

Tahun lepas(2016), Alhamdulillah aku dah berjaya harungi satu fasa yang sangat sukar bagi diri aku sebenarnya iaitu Latihan Mengajar di sekolah selama 15 minggu. Kenapa ianya sukar? Kerana aku mempunyai masalah keyakinan diri yang rendah serta bidang pendidikan bukanlah matlamat atau impian aku yang berakar umbi sejak aku kecil. Ianya baru sahaja bercambah dan masih dalam proses tumbesaran.

Sepanjang 15 minggu mengajar di sekolah sebagai cikgu praktikum, banyak perkara baru  aku belajar. Banyak pahit manis aku tempuh yang mana manisnya sudah tentu melebihi kepahitan. Kerana pahit itu sebenarmya ditentukan sendiri oleh diri kita. Pahit yang kita fikir, maka pahitlah yang kita rasa. Aku diberi peluang mengajar 4 kelas iaitu tiga kelas tingkatan empat dan satu kelas tingkatan satu.

Salah satunya perkara manis adalah sambutan hari guru yang mana dilakukan beberapa hari sebelum aku dan rakan meninggalkan sekolah. Apa yang manisnya adalah bila kita berdiri di atas pentas di dalam dewan di hadapan para pelajar dan menyanyikan lagu Guru Malaysia. Auranya terasa hingga mendirikan bulu roma dan bulu tengkuk. Ingat hantu je ke boleh buat orang berdiri bulu roma?

Entah kenapa mengapa dan bagaimana aku boleh ter'feeling' pulak nyanyi lagu tu walaupun lirik aku tak ingat. Tak guna betul Steve tak bagi aku tengok kertas  lirik kat tangan dia. Aku lupa nak bawa naik pentas kertas tu. Akibatnya aku nanyi slow-slow je la part yang aku tak ingat tu. Hahaha.

Dan pada hari tu aku dapat hadiah. Banyak la juga. huhuhu. Tapi jangan risau, bukan soal hadiah banyak yang aku nak bebel dalam entri ni. Sebaliknya aku nak kongsikan berkenaan satu hadiah daripada kelas 4 Sains 1 yang aku rasa sayang nak buka. Jangan tanya aku kenapa sebab aku tak ada jawapan. Tapi akhirnya setelah genap setahun iaitu 16 Mei 2016 - 16 Mei 2017, akhirnya hadiah tu aku buka jugak.

Bila tengok isi dalam kotak tu buat aku sangat terkejut. Nak letak sangat banyak banyak pun nampak macam melebih lebih pulak. So, aku letak satu je sangat. Hahaha.

Dalam kotak tu ada kotak kecil. Jadi aku buka kotak kecil tu. Dalam kotak kecil tu pula ada kertas warna warni yang telah distapler. Tekaan aku dalam tu ada ucapan-ucapan daripada budak-budak ni. Dan jumlahnya mesti 25. Bila aku kira nampaknya tekaan aku betul. Hahaha. Perlu ke aku bangga? Ahh, Kome diam dan baca senyap-senyap je.

Aku selongkar lagi, dan nampak beberapa keping gambar. Tiga keping sebenarnya. Dan gambar ni adalah gambar kenangan kami satu kelas ambik kat tepi bangunan sekolah. Dah agak pudar sikit gambar disebabkan ambik waktu tengah hari dan juga setelah setahun baru di buka. hahaha. Bila tengok gambar ni agak bergenang juga air mata, kononnya la nak bagi dramatik sikit. Iyelah kan, dalam gambar tu aku pakai baju biru seluar hitam tali leher hitam dan pakaian tu sama dengan apa yang aku sedang pakai pada hari hadiah ni di buka. Jadi apa kaitannya?  Ah, biarlah takda kaitan pun. Suka hati aku la nak tulis.


Bila selongkar lagi, jumpa pula tali leher warna ala-ala merun gitu. Aku tak tahu deme ni pilih kaler ni berdasarkan warna baju merun yang aku pernah pakai atau deme baling dadu je pilih. Ah, lantaklah yang tu. Bila tengok tali leher tu terus aku bayangkan dipakai dengan baju kemeja merun aku. Jadi aku akan rasmikan tie tu pada hari rabu nanti memandangkan isnin dan selasa aku takda kat sekolah.


Dan yang terakhir adalah baju kemeja warna merah gelap or merun or whatever la kalernya. kome tengok la sendiri dalam gambar tu. Kalau aku la kan, memang aku tak beli baju macam ni. Sepuluh minit aku pegang, dua ratus enam belas kali aku pikir dan lepastu letak balik ak jadi beli. Hahaha. Bukan apa, aku ni jenis suka yang simple. Dan aku jenis tak suka bergaya dan tak reti bergaya apatah lagi nak ikut fesyen. Nak beli seluar jean pun jenuh. Tahun lepas cuba beli, balik-balik nak pakai ketat pulak. Tak guna betul. Ke aku yang gemuk?


Tapi, bila tengok baju pemberian 4s1 ni terus aku terfikir satu benda. Baju raya! hahaha. So raya ni aku just cari seluar je. Baju dah ada. Saiz pulak ngam-ngam je. Nampak tak bahawa teori aku gemuk tak boleh diterima pakai. Lepas setahun pun muat lagi baju tu. Tapi kan, macam mana deme boleh agak warna merun ye? Kalau ikut faveret colour aku ofkos la biru. Hahaha It's okay, kaler tu pun cantik juga. Aku pun dah mula mebiasakan diri dengan warna merah nih. Tiga tahun main hoki kat USM semua jersi kaler merah. Bila aku dah tak main, eh eh tiba-tiba buat kaler biru. Ayam betul . Dah la lawa jersi tu. Haha.

Kejap, bila aku tengok balik baju tu, bukannya merah or merun sangat pun. Lebih kepada merun gelap nak coklat dah aku rasa. Sesuai la dengan kulit ni. Hahaha.

Habis soal baju dan tali leher yang tak sabar aku nak rasmi. Hahaha.

Berkenaan ucapan tu pula, satu demi satu aku baca. Macam-macam perasaan ada. Lawak, rindu, dan lain lain yang difikirkan sesuai.



Ada beberapa ucapan yang tak ada nama. Tapi boleh tahu siapa orangnya. Macam mana?  tengok je tulisan dan ucapan dia. Dari situ dah boleh tahu. Hebat kan aku. Hebat membohong. Haha.

Kalau aku nak share kat sini satu-satu kad ucapan rasanya padat sangat. Kalau tulis, aku malas nak menulis pulak. So aku ambik secara random ajelah isi-isi ucapannya.

Antara isu banyak di sebut adalah berkenaan 'Mira'. Siapa sebenarnya Mira nih? Mira ni hanya watak fantasi yang wujud di dalam kelas sewaktu cikgu mengajar sejarah sebagai contoh sahaja. Tiada siapa-siapa pun sebenarnya. Ex cikgu atau bakal wife cikgu pun tak ada secebis pun yang bernama Mira. Kejap, cikgu ada ex?? bawa bertenang, jangan nak pikir bukan-bukan. Cikgu mana ad ex-ex ni. Itu saja je cakap nak bagi sedap jalan cerita. Haha.

Ada yang doakan moga cepat-cepat kawin dan dapat anak kembar. Amiin.  Bagus juga tu. Dan orang yang sama cakap dia lebih hensem daripada cikgu. Ada bantahan?

Nampaknya ramai yang seronok bila cikgu kurang bagi kerja sekolah. Kamu tahu kenapa cikgu buat macam tu? Yang pertama sebab cikgu ni praktikal yang bermakna masa cikgu di sekolah sangatlah terhad untuk pelbagai perkara bersama kamu. Yang kedua, matlamat cikgu untuk menyemai minat pelajar iaitu kamu-kamu semua nih suka dengan subjek sejarah. Sejarah perlu dihayati dan difahami. Dalam masa yang terhad, cikgu cuba terapkan perkara-perkara ni. Tak guna kalau bagi kerja rumah bertambun tapi penghayatan terhadap sejarah itu sendiri tiada, zero. Hanya cantik di atas kertas tiada gunanya juga. Apa?? kata cikgu malas bagi kerja? cikgu bukan malas, tapi macam cikgu cakap kat atas tadi la. lagipun kamu semua kan dah banyak homework. Cikgu pernah sekolah dan ambik matapelajaran yang sama. Cikgu faham bagaimana perasaan tu.

Sambil tulis ucapan sambil lukis. Mungkin dia nak bagi cikgu mudah faham kot. Hahaha.

Stay sporting dan cute. Sporting tu aku boleh terima la juga. Ni yang cute ni tang mana? cuba habaq sat. Haaa...terkeluaq kedah dah la. Maklumlah malam ni final bola sepak Kedah lawan Pahang. Tapi aku tak sokong mana-mana pun. Sejam berdiri depan cermin pun tak jumpa lagi nih cute tang mana. Hahaha.

Yang ni dia bagi pick up line kat aku. Agak ayam jugak pick up line ni. ianya berbunyi begini" Cikgu, cikgu tahu tak apa beza cikgu dengan white coffee?'' dan jawapannya ialah 'White coffe putih tapi pahit, cikgu hitam tapi manis''. Todiaaa... Hahaha.. Hitam manis okeyy.. Hahaha. Itulah, kak dah pesan nak pi kawad tu lain kali pakai la sunblock. Baru tak gelap kulit tu. Aku gelak ja. Bior je la hitam pun, asalkan aku bebas nak buat apa-apa yang aku nak.

Selamat jadi penganggur jugak satu ucapan yang bermakna nih. Bila depa-depa ni bagi ucapan macam tu, tahu tak apa yang aku pikir? Uish, mana ada, bukan aku nak marah depan perli ka apa. Aku puji la depa, sebab depa ni bakal SPM dan bakal menjadi mahasiswa tak lama lagi dan depa dah sedar realitinya bila sudah habis universiti terutamanya yang bidang pendidikan. Cuma nak pesan, bila dah sedar realiti ni, maka merancanglah dengan sebaiknya seperti yang cikgu pernah dan agak selalu bebel dalam kelas berkenaan matlamat hidup. Tanya diri sendiri, aku nak jadi apa? kalau nak jadi pegawai bomba, mana mana caranya?  kalau nak jadi arkitek, kursus apa dan universiti mana yang harus pergi? Semuanya perlukan perancangan. Siapa tahu kalau perancangan kita sama dengan perancangan Tuhan. Yang penting kita berusaha.


Yang ini tuan badan mesti tahu ni. Dia tulis lirik lagu maal hijrah. Hahaha. Siap ada pesanan lagi katanya kalau nak sado minumlah kopi pak belalang.

Ada juga yang minta tambah markah bila semak paper sejarah dia. Tapi malangnya nota ni cikgu baca setahun kemudian. Hahaha...

''Cikgu ibarat dark chocolate tetapi penuh perisa. ''-daripada anak ayam.
Ayam betoi. hahaha

Itulah sebahagian daripada coretan terakhir daripada kelas 4s1 untuk aku sempena hari guru dan juga salam perpisahan dengan mereka. Kelas ni adalah kelas pertama yang aku masuk sewaktu praktikal dan hadiah kelas ini adalah hadiah terakhir yang aku buka.

Cikgu ucapkan terima kasih atas ucapan-ucapan itu semua. In Shaa Allah kita berjumpa lagi di lain masa. Cikgu sedang berusaha sebenarnya untuk ke TM sebelum kamu semua habis SPM.(2017) Masa yang akan menentukan nanti.

Terima kasih juga untuk hadiah-hadiah yang tak ternilai sebenarnya pada cikgu.

Kalau ada apa-apa nak tanya, minta pendapat dan sebagainya, jangan segan-segan nak message atau whatsapp cikgu. Sebolehnya jangan call sebab nanti cikgu ni melalut banyak.

Rasanya itu saja la kot bebelan aku dalam entri kali ni. Banyak lagi nak bebel tapi aku ni malas jugak sekarang ni nak menulis. Jadi biarkanlah apa yang aku fikirkan tu menerawang dalam fikiran aku dulu.

Haa, satu lagi berkenaan dengan cerita Tanah Di Antara Dua Sungai tu sebenarnya cikgu hold kan dulu sekejap. Bukan tak ada idea tapi nak kemaskan plot lagi. Idea banyak tai kemalasan pun makin banyak. Cikgu akan cuba update  dalam masa terdekat.

P/S : Coretan ini adalah imbauan kepada kenangan sewaktu praktikum pada tahun 2016 dan ditulis pada tahun 2017 seterusnya dismpan di draft dan dipublish pada tahun 2019. HAHAHA.


MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT SEKOLAH 2019

ASSALAMUALAIKUM.....

Ye ye aku tahu aku dah lama tak blogging. Nak kata sibuk tu tak la sangat. Tapi lebih kepada malas sebenarnya. Hahaha.

Alhamdulillah, majlis sambutan hari guru peringkat sekolah telah berlangsung dengan jayanya. Apa? hari guru lambat lagi? memangggg laa.. tapi dah PPD suruh sambut awal, kita ikut je la.

Tahun ini merupakan tahun keempat aku sambut hari guru sebagai seorang guru. Lain benar rasanya perasaan apabila 16 mei menjelang tiba. Dalam fikiran tak lain tak bukan pastinya akan teringatkan guru-guru yang pernah mencurah pelbagi ilmu pada diri yang naif dan daif ini. Ye, aku tahu tak semua guru akan ingat aku. Sebab aku pun dah jadi cikgu sekarang. Jadi aku sangat memahami perasaan tu.

Pertama kali sambut hari guru ketika aku praktikal di SMK TENGKU MENTERI. Seterusnya selepas aku ditempatkan di SMK SUBANG BESTARI sehingga kini. 2017, 2018 ( tak dapat sambut di sekolah kerana menjadi pengelola untuk kejohanan hoki mssd. 2019 pula menjadi ahli kelab warga guru sekolah yang mana antara tugasnya adalah merancang sambutan hari guru peringkat sekolah.

Catatan ni seperti biasalah sebagai memori kepada diri aku dan juga sesiapa yang berkenaan. Ada ke? haha. Aku ceritakan secara ringkas je la ye.

Acara mula sekitar jam 7.45 pagi dimulakan dengan perarakan masuk guru-guru ke dataran. (kami ada dewan tapi tak muat. Sebab tu buat  di dataran.) Sepanjang perjalanan guru-guru di renjis dengan bunga rampai oleh pengawas. Manakala di bahagian hadapan yang diketuai oleh pengetua dan pentadbir pula disajikan dengan persembahan silat. Dan tema pun 'warisan klasik' kan. Memang elemen wajib la silat tu. Kemudian guru-guru yang berjalan beriiringan tadi terus berpecah masuk ke dalam khemah di kiri dan kanan yang dibahagikan kepada dua nama iaitu Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang. Guru-Guru laki puteri apa? Kami tak ada puteri. Kami redah je duduk satu khemah semua cikgu lelaki. Kumpul di satu tempat. Kan senang. Maklumlah kami ni minoriti. Hahaha

Kemudian acara diteruskan dengan ucapan pengerusi dan perarakan masuk pengacara majlis yang diusung menggunakan tandu dengan pakaian dan perhiasan serba kuning. Dah macam raja-raja zaman dahulu.

Ucapan daripada ketua pelajar, ucapan daripada pengetua, bacaan doa dan nyanyian daripada guru.
Mula dengan bacaan ikrar dahulu yang diketuai pengerusi KWS. Kalau tidak aku yang kena. haaa.. nasib baik. hahaha. Kemudian nyanyian lagu Kami Guru Malaysia yang mana lagu ni dinyanyikan sewaktu hari pertama aku menjejakan kaki di dewan kuliah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM kira-kira 7 tahun dahulu. Lagu ni sangat bermakna dan aku harap mana-mana kerajaan yang memerintah supaya tak gatal-gatal tangan nak ubah lagu ni. Dah la sebelum ni kerajaan perkenalkan lagu yang entah apa-apa. Kemudian nyanyian lagu Guru Pembina Negara Bangsa. lagu ni agak slow. cuma part korus dua tiga baris je yang sedap. Yang lain tu krik krik krik.

Aku skip je ni. tulis mana yang aku ingat. Kemudian ada persembahan murid. Nyanyian, sketsa dan apa benda  entah lagi. Lepas tu anugerah guru. Ada macam-macam anugerah yang mana pelajar-pelajar membuat undian secara online. Antaranya, anugerah guru paling popular, paling laser, berperwatakan menarik, skema dan lucu.

Apa yang aku pelik, tiba-tiba aku boleh dapat anugerah guru paling lucu. Memang lucu la...lucunya sebab aku tak tahu di mana lucunya aku. Hahaha.. Mungkin budak nak undi aku tapi takda kategori yang paling sesuai kot hahaha. Apa-apa je la.. sekadar untuk bergembira.

Dan antara trademark yang popular di sekolah ni adalah ULTRAS SUBEST. yes, mereka ni memang satu kumpulan ultras yang agak hardcore. Walaupun ada kalanya merimaskan. Tetapi mereka ini lah yang memeriahkan suasana. Dan hari ini, mereka membuat gimik yang sangat menarik. Well done dan tahniah Ultras Subest. Dari tingkat tiga bangunan mereka melabuhkan kain rentang besar bertulis SELAMAT HARI GURU dan kemudiannya menyanyi dan bertepuk tangan. Apa yang menarik, pelajar-pelajar lain jugak turut menanyi dan bertepuk tangan. Ibaratnya menyaksikan perlawanan bola sepak pula. haha.

Menjelang jam 10 pagi, pelajar-pelajar berehat dan guru-guru melakukan persiapan untuk sukaneka ataupun permainan. Bagi guru-guru wanita, permainannya adalah mengasingkan rempah ratus yang telah dicampur adukkan. Manakala untuk guru-guru lelaki terdapat dua permainan itu lari dalam guni dan juga timbang bola takraw. Aku cuma main lari dalam guni sahaja. Aku pun sebenarnya konfius juga sama ada lari atau lompat. Tapi ramai antara kami yang lari. Mungkin sebab tinggi dan kaki panjang. Malangnya team aku kalah. hahhaha.

Dalam pukul 11 lebih semua guru bergerak ke dewan perdana ekhwan yang terletak kira-kira 4 km dari sekolah untuk jamuan guru.

Menu yang ada nasi briani, kambing bakar, pasta, buah dan kuih muih. Guru-guru lelaki makan agak rushing juga memandangkan mereka perlu bersiap untuk ke masjid bagi menunaikan solat jumaat.

Sewaktu jamuan juga diadakan penyampaian hadiah. disebabkan pemenang dah balik, aku lah yang jadi wakil untuk dua dua acara iaitu lari dalam guni dan timbang bola takraw walaupun aku kalah. hahaha.

Jamuan berakhir kira-kira jam 1 tengah hari. Perut kenyang hati senang program pun berjalan lancar. Alhamdulillah. Program kedua yang telah berjaya dilaksanakan. Terima kasih kepada Kelab Warga Subest  dan MPM yang bertungkus lumus sepanjang persiapan dan perlaksanaan program.

Rasanya ini je kot catatan aku. Tengok la gambar-gambar yang aku rajin nak kongsikan kat bawah ni. Manalah tahhu disitu letaknya jodoh anda nanti. HAHAHA..

Nazri Abdul Karim,
Sabtu, 20 April 2019
0421, Arafah







Open Cbox