Mengapa Air Mata Mengalir?


ASSALAMUALAIKUM

Sedang aku scroll facebook, tiba-tiba mata aku tertumpu pada posting yang dikongsi oleh seorang senior aku sewaktu di bangku persekolahan dahulu yang kini bertugas sebagai guru di sekolah rendah. Beliau berkongsi beberapa keping gambar sewaktu majlis perpisahan beliau di sekolah rendah tersebut. Beliau akan berpindah ke sekolah yang lain di dalam daerah yang sama.

Apa yang aku hendak kongsikan bukanlah tentang beliau dan kerjanya sebagai guru. Sebaliknya dalam banyak-banyak gambar tersebut, mata aku tertancap pada sekeping gambar di mana kelihatan seorang pelajar lelaki dengan muka yang sedih sedang menangis di hadapan cikgu tadi. Ya, budak lelaki itu yang menarik perhatian aku.

Budak lelaki tersebut benar-benar mengimbau alam persekolahan aku dahulu. Masih aku ingat walaupun kurang jelas dan semakin kabur. Dahulu, ketika aku di sekolah rendah, apabila ada sahaja guru yang berpindah, aku akan sebak, sedih dan berakhir dengan tangisan. Ianya berlaku setiap kali ada sahaja guru yang berpindah.

Aku masih ingat cikgu sains aku, namanya cikgu Hakim. Sewaktu dia berpindah, aku sangat sedih. Selepas bersalam aku terus lari ke tandas dan menangis. Entah kenapa aku terlalu emosi. Walhal, aku bukanlah seorang pelajar yang bijak. Malah bukan juga anak murid kesayangan cikgu Hakim.

Begitu juga dengan  teacher Noraini namanya kalau tidak silap aku. Dia mengajar bahasa Inggeris dan aku pernah kena rotan dengannya di kepala di sebabkan aku bengap dalam bahasa Inggeris. Aku memang tak minat bahasa Inggeris. Tetapi ketika dia pindah, air mata aku juga turut mengalir. 

Cikgu matematik yang aku lupa namanya tetapi binti Ariffin sahaja yang aku ingat juga turut berjaya memecahkan tembok air mata aku. Seorang guru yang tegas tetapi penyayang. Tidak seperti teacher Noraini yang garang, dan cikgu Hakim yang sempoi dan ada juga tegasnya mengikut situasi.

Sewaktu sekolah menengah pun masih sama juga, cuma bezanya aku mampu tahan walaupun masih lagi terpaksa ke tandas. Malu rasanya menangis sewaktu di sekolah menengah. Tetapi apakan daya, hati ini mudah tersentuh.

Terfikir juga aku, mengapa mudahnya air mata aku mengalir dan betapa lembutnya hati aku ketika itu. Mungkinkah disebabkan aku kanak-kanak? remaja? atau faktor lain yang mempengaruhi keadaan ketika aku.

Dan air mata itu benar-benar tulus dari hati kerana aku sangat menghargai jasa seorang guru. Mana tidaknya, ketika itu walauapapun yang dilakukan oleh guru sebagai denda dan hukuman, tidak pernah aku menyimpan dendam. Sedikitpun tidak kerana semua itu telah mengajar aku tentang kehidupan. Kesal juga bila difikirkan yang sebenarnya aku perlu terima lebih lagi supaya aku lebih menjadi manusia yang berguna.

Sekian sahaja sedikit perkongsian daripada  pengalaman aku. 

Terima kasih Cikgu, semoga dapat bertemu di lain waktu.


20:20
7 Mei 2018
Subang, Selangor


No comments:

Open Cbox