Ini Kisah Tentang Ayah - Bahagian 1

Assalamualaikum.



Aku bukan tak suka tetapi aku kurang gemar bila berada di rumah saudara mara terlalu lama. Kenapa? Ada sebabnya. Dan salah satu sebabnya adalah kerana butir bicara nya yang berulang-ulang sampai naik bosan aku mendengar. Tapi kali ini walaupun masih lagi perihal topik yang sama, tetapi ada suatu perkara baru yang sangat menarik untuk aku ketahui. Dan ketika itu juga aku rasa sangat bertuah kerana dapat mengetahuinya melalui sumber paling dekat iaitu mak saudara aku sendiri merangkap adik kepada ayah aku. Jadi apa ceritanya yang yang menarik sangat tu?? Kejap ye, sebelum aku ceritakan disini, suka untuk aku ingatkan ianya menarik bagi aku, tetapi tidak bagi pembaca lain. Jika itu yang anda fikirkan la. Terpulang pada anda untuk menilai.

Kisahnya begini.....
Sedang rancak menyembang, tiba-tiba mak saudara aku buka cerita tentang ayah aku bila topik perbualan kami menyentuh kepada isu persekolahan. Menurut mak saudara aku, dahulu mereka hidup susah. Ayah aku bekerja. Suatu hari ayah aku pulang ke rumah dan melihat mak saudara aku tidak ke sekolah. Lalu ayah aku bertanya kenapa tidak ke sekolah. Dan jawab mak saudara aku, tiada baju sekolah. Ketika itu juga ayah aku pergi membeli baju kembang lalu diberikan kepada mak saudara aku dan menyuruhnya ke sekolah. Esoknya mak saudara aku ke sekolah seorang diri mendaftar dirinya sendiri tanpa ditemani orang tuanya

Keesokkan harinya juga, ayah aku pergi membeli baju sekolah untuk kegunaan mak saudara aku ke sekolah. Walaupun dia tidak bersekolah, tetapi dia tidak mahu adik-adiknya tercicir dalam pelajaran. Itulah ayah aku merangkap abang sulong dalam keluarga kepada adik-adiknya.

Dan ini adalah kisah kedua yang membenarkan apa yang pernah didengar oleh aku ketika aku masih kecil seperti yang telah diceritakan oleh ayah kepada aku dan adik-adik. Namun ketika itu segalanya masih samar-samar antara mitos atau realiti.

Suatu hari tokwan aku meyuruh ayah untuk memanjat pokok asam gelugor. Lalu tanpa banyak soal ayah aku terus pergi ke kebun lalu memanjat dan mengait buah asam gelugor seperti yang di suruh oleh tok wan. Setelah beberapa batang pokok berjaya dipanjat, tiba-tiba datang anggota polis lalu terus menangkap ayah aku. Tangan ayah digari. Ayah keliru. Rupanya ayah dituduh mencuri buah asam  gelugor milik orang kampung yang tanahnya bersempadan dengan tanah tok wan. Dan sememangnya pokok gelugor yang telah dipanjat ayah adalah milik tuan tanah tersebut. Bukan salah ayah. Silapnya adalah tok wan tidak memberi tahu sempadan pokok-pokok asam gelugor tersebut. Tok wan sebenarnya terlupa.

Akibatnya ayah telah ditangkap dan dibawa masuk kampung dengan tangan bergari. Tujuannya satu iaitu tuan tanah ingin memalukan ayah di hadapan orang kampung kerana dituduh mencuri. Tok wan berasa malu. Setelah dijelaskan perkara sebenar, tuan tanah tetap dengan pendiriannya menuduh ayah mencuri. Disebabkan itu ayah telah dipenjara selama 4 bulan. Ayah tidak melawan. Ayah redha dan berserah. Begitu juga dengan tok wan, tidak langsung merayu dan sebagainya. Sepanjang 4 bulan di penjara, tidak sekalipun tok wan datang melawat ayah. Kata ayah, biar orang buat kat kita jangan kita buat kat orang. begitu juga dengan kata tokwan.

Selepas keluar daripada penjara, ayah sedikit pun tidak berdendam. Begitu juga tok wan. Dan tuan tanah yang menyebabkan ayah dipenjara juga datang merayu meminta maaf apabila sedar bahawa ayah tidak mencuri buah asam  gelugor mereka. Dan apa yang berlaku sebenarnya  cuma salah faham  sahaja. Ayah maafkan mereka. Mereka jadi kawan. Dan lebih menarik lagi, ayah juga telah menjadi orang tengah yang mempertemukan tuan tanah dan isterinya. Isteri tuan tanah telah diperkenalkan oleh ayah kepada tuan tanah.

Selepas mendengar cerita ini, aku kagum dengan ayah aku. Yes, manusia memang tidak sempurna. Walaupun ada beberapa sisi negatif, tidak wajar pula untuk terus mengabaikan sisi positif yang ada.

Segala cerita ini membenarkan apa yang aku pernah dengar sewaktu kecil apabila ayah bercerita tentang penjara. Aku juga selalu di ancam ayah untuk di hantar ke sekolah Henry Gurney iaitu sekolah budak-budak bermasalah ataupun bahasa kasarnya budak-budak jahat jikalau aku nakal. Memang aku nakal ketika kecil. Lagi-lagi bab mencuri. Ayah cukup marah.

Dan sebenarnya banyak lagi kisah yang aku pernah dengar dari ayah yang menuntut kesahihan. Ayah hanya bercakap, tetapi tidak melakukannya. Ayah berdendam kata hendak membalas semula perbuatan tersebut, namun itu sekadar dibibir sahaja. Tidak pernah pun ayah lakukan. Dan sikap ayah ini sedikit sebanyak menurun kepada aku sebenarnya. Yes, aku berdendam. Tetapi lama kelamaan aku lupakan sahaja apabila akal waras kembali berfungsi. Dan aku juga seperti ayah yang hanya bercakap apabila perlu sahaja.


Ini sahaja kisah tentang ayah untuk bahagian satu.

20/11/2017 (Isnin)

No comments:

Open Cbox