MEMORI PERSEKOLAHAN - HEMPEDU TERASA MADU

Assalamulaikum pembuka bicara.



Cuti sekolah dah semakin habis. Sekolah dah dekat nak buka. Ibu bapa pasti menjadi insan yang sangat sibuk memikirkan perbelanjaan dan keperluan persekolahan anak-anak mereka. Kalau yang anak seorang tu tak apa la lagi, tapi bayangkan yang anak lima orang dan masih bersekolah, pasti pening kepala ibu bapa memikirkan. Ditambah pula dengan ekonomi dan kenaikan harga barang serta kos sara hidup yang semakin meningkat saban waktu. Bagi ibu bapa yang berpendapat rendah, pasti jenuh memikirkan untuk menyediakan belanja sebelum sesi persekolahan yang akan bermula lebih kurang seminggu sahaja lagi.

Hari pertama sekolah pasti mahu kasut sekolah baru, baju baru, tudung baru, sarung kaki baru, beg baru dan serba baru la semuanya. Kalau tak diturutkan pasti ada anak-anak yang menarik muka. Merajuk dengan keluarga.

Aku faham dengan situasi ni. Aku juga pernah bersekolah dan aku sangat sangat faham. Ye la kan, buka sekolah nanti kawan-kawan masing teruja menunjukkan pakaian serba baru. Ada pula yang bercakap soal jenama. Beli di kedai sekian-sekian. Tapi aku tidak termasuk dalam golongan ini. Aku adalah golongan yang diam dan memencilkan diri di sudut dunia aku sendiri.

Ini yang hendak aku kongsikan. Kisah dan pengalaman aku. Jika bermanfaat ambilah, jika sebaliknya biarkan ia menjadi catatan di hari muka untuk aku.

Aku akui yang aku agak cemburu bila hari pertama persekolahan. Kawan-kawan datang dengan kelengkapan serba baru daripada hujung rambut sampai ke hujung kaki. Aku?? hanya mengenakan yang serba lama. Hendak makan pun sukar, apatah lagi untuk membeli kasut baru. Jika masih elok, akan digunakan sehingga rosak teruk. Maknanya sampai dah tak boleh pakai. Kalau setakat ibu jari kaki terkeluar itu masih dikira elok lagi. Stoking pulak aku tak tahu mana satu pasangannya yang betul. Kadang kala tidak berstoking. Tapi aku rasa selalu juga sebenarnya tak pakai stoking. Bukan sengaja tak pakai, tapi takda!. Pernah juga disebabkan teringin untuk bergaya ke sekolah seperti yang lain, aku curi-curi pakai kasut sekolah kakak aku jenama converse. Padahal tu adalah satu-satunya kasut yang dia ada. Disebabkan aku dia tak pergi sekolah. Kasut takda.

Pakaian sekolah aku dari darjah satu hingga darjah enam tak berpisah sangat. Maknanya aku menggunakan pakaian yang sama selagi boleh digunakan. Kalau baju orang lain putih yang sebenar benar putih, baju aku pula putih kekuningan yang sebenar benar kuning. Tak ada nila. Baju ni semuanya adalah hasil derma dan pemberian saudara mara dan orang kampung. Hasil kemurahan hati mereka ini, merasa lah aku untuk berbaju sekolah 'baru'.

Seluar sekolah juga hasil derma. Saiz bermacam-macam. Kebanyakkannya bersaiz besar. dan aku ketika itu hanya sekolah rendah. Badan tak la kurus sangat, tak jugak gemuk sangat. Sedang-sedang je. Bulat. Hahaha. Yang mana jiran ada seluar lebih tu deme akan sedekahkan kat kami. Aku tak pasti dengan satu perkara, Tali pinggang! seingat aku la kan, aku tak pernah ada tali pinggang. Habis tu seluar besar tu aku buat macam mana??. Kemon la gais, mak aku kreatif kot. Dia bagi aku tali rafia yang ada kaler biru, hijau atau merah tuh. Lepastu ikat la buat macam tali pinggang. Ikat dekat tempat masuk tali pinggang tu kat kanan pastu ikat dengan yang belah kiri. Jadi la tali pinggang. Tak malu ker?? Ini yang orang kata malu biar bertempat.

Darjah satu hingga darjah enam, 6 tahun kan?. Dan selama enam tahun tu aku dengan dua orang kakak aku pergi sekolah tak pernah sekalipun baju, seluar, kain, tudung kami berseterika. Pergi sekolah macam tu je dengan baju berkedut-kedut. Ini yang dikatakan hidup mengajar kita, sebab dah biasa so enam tahun tu berlalu macam tu sahaja. Sangat menguji ketabahan.

Seluar atau baju koyak tu perkara biasa la. Selalu sangat. Tak sempat nak jahit. Iye la, waktu awal-awal pagi tu mana nampak sangat dengan cahaya lilin samar-samar. Dah sampai sekolah baru perasan yang celah kangkang ada koyak. Celah ketiak pun koyak sikit. Tapi buat tak tahu je la.

Aku pernah kena gelak dengan kawan-kawan di sekolah dan juga di kampung. Puncanya? Mak aku gunting rambut aku guna gunting dengan sikat je. Akibatnya rambut jadi tobek-tobek. Penuh dengan 'tangga kejayaan' atas kepala. Tapi kan, aku tak hairan sangat pun, sebab kat rumah aku mana ada cermin. Hahaha.So, aku tak nampak dan buat-buat tak tahu la. Terima kasih mak buatkan aku jadi tabah.

Mak bila tak mampu dia akan terus cakap. Dia takkan kata ''nanti mak belikan'' atau  ''esok mak belikan'' sebab dia tahu dia memang takkan mampu. Dan dia juga takkan berhutang untuk beli keperluan sekolah kami adik beradik yang dia tak mampu. Kecuali untuk beli beras mak terpaksa berhutang kat kedai runcit. Keperluan asasi lain la. Beras ada takpa dah, lauk boleh cari. Pucuk kayu keliling rumah banyak mak tanam, ikan boleh cari kat sungai belakang rumah. Tapi dia akan cakap terus ''mak takda duit''. Sebab memang benar mak takda duit. Untuk apa lagi mak nak menipu. Itu hakikatnya. Dan hakikat ini lah yang buat aku jadi tabah dan agak lali dengan semua.

Minyak wangi dengan minyak rambut memang  aku takda. Minyak rambut pun kadang-kadang je ada. Deodorant aku mula kenal waktu aku tingkatan satu. Dan selama sekolah aku memang tak pakai semua nih. Bau badan jangan di kata la macam mana. Orang sekeliling je tahu 'keharumannya'. Sebab aku dah biasa dan sebati dengan bau badan sendiri. Sebab tu kawan aku kata aku pergi sekolah tak mandi., Rambut kusut masai, baju tak terurus nampak sangat tak mandi. Ya, aku memang tak mandi pergi sekolah. Tu sekolah rendah la. (Kat Uni pun sekali dua pergi kelas tak mandi, tak sempat boh. hahaha). Rumah aku mana ada bilik air. Semua mandi kat sungai. Takkanlah pukul 6 pagi nak mandi kat sungai kot. Memang tak la kan. Sejuk dan takut.

Kalau macam tu duit belanja pergi sekolah ada ke tak? Ada la dalam 50 sen. Nasi goreng 20 sen, air 10 sen untuk sarapan pagi. Tengah hari waktu rehat aku makan ubi sengkuang cicah sos hitam tuh. Cukup belanja aku sehari. Kalau tak bawa duit waktu rehat aku pergi lepak kat padang. Kadang-kadang aku lepak kat library. Tapi kalau lapar sangat aku pinjam duit kawan aku. Nama dia Yusri. Tapi sampai sekarang aku tak pernah bayar balik . Dan sampai sekarang juga aku masih ingat dia. Sebab dia baik dengan aku. Dan baru-baru ni aku jumpa dia punya akaun facebook dan kami berhubung bertanya kabar melalui facebook. Dia ada jemput aku pergi rumah dia untuk makan kenduri dan aku pergi. Tapi tak sempat hendak berborak lama sebab dia agak sibuk. Ambil gambar pun tak sempat. Takpa kawan, aku paham.In shaa Allah nanti aku  praktikal belah sana kita keluar makan. Aku belanja.


Banyak lagi nak cerita sebenarnya, semuanya berperisa hempedu. Madu ada la sedikit. Pahit juga sebenarnya hempedu nih, tapi kalau tak rasa pahitnya hempedu, mana mungkin aku tahu manisnya madu kan.


Cuma pesanan aku kepada adik-adik yang masih bersekolah dan terbaca catatan aku nih, jadikan kesusahan itu sebagai pemangkin untuk berjaya. Pengalaman adalah guru terbaik. Ibu bapa sentiasa mahu yang terbaik untuk anaknya, jika dia tidak mampu, sememangnya dia benar-benar tidak mampu. Usah dirunsingkan lagi hati mereka, sebaliknya berusaha untuk menggembirakan hati mereka.

Alhamdulillah, keputusan UPSR aku cuma 2A 2B 1C, tapi itu sudah cukup membuatkan emak aku tersenyum ditambah pujian daripada saudara mara. Hati mana tidak gembira melihatnya ibunya tersenyum di sebalik kesukaran hidup yang di alami. Sejak tu aku berazam untuk membuatkan emak aku tersenyum gembira lagi. Dan alhamdulillah aku mengulanginya pada PMR dan agak kecundang ketika SPM dan aku bangkit semula ketika STPM. Dan sekarang aku adalah pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Pendidikan di USM. Dan aku adalah orang pertama dalam keluarga yang menjejakkan kaki ke menara gading. Dua orang kakak aku sangat menyimpan impian untuk sambung belajar, tetapi kesusahan hidup membuatkan mereka sanggup menguburkan impian masing-masing. In Shaa Allah bila aku berjaya kelak, aku akan bantu realisasikan kembali impian mereka.

Segala kesusahan dan pengalaman hidup yang setahun jagung aku alami ini sangat membantu aku menghadapi hari-hari sukar di  sekolah menengah dan universiti. Ada RM 5 dalam poket untuk seminggu. Nak makan apa? Pengalaman dah ajar semua tu.....

Semoga catatan yang caca merba ini dapat memberi manfaat kepada mereka yang membaca.

No comments:

Open Cbox