Di Sebalik Senyuman


-ASSALAMUALAIKUM-

Hari ini aku agak kelam kabut di sekolah. Semalam aku seharian tiada di sekolah kerana membawa pelajar untuk ujian kenaikkan pangkat KRS. Jadi banyaklah kerja aku yang tertangguh dan dicampur dengan 'penangguhan' yang sedia ada. Makin bertimbun jadinya. Padan muka aku untuk itu.

Perkara pertama aku perlu selesaikan adalah memastikan jumlah peserta untuk lawatan ke Rumah Pengasih, Kuala Lumpur mencukupi iaitu 42 orang. Semalam aku telah edarkan enam borang  kepada peserta yang mahu menyertai pada saat terakhir disebabkan terdapatnya beberapa kekosongan. Kebanyakkan daripada mereka sudah beberapa kali bertanya mengenai kekosongan dan nasib mereka baik ada peserta yang menarik diri.

Dan awal pagi ini di dalam kotak di atas meja aku lihat ada enam helai borang beserta duit yuran RM10 yang dikepilkan bersama.  Sudah aku agak mereka akan berbuat begitu. Apa yang menggusarkan aku adalah andai kata duit itu hilang atau dicuri. Bukankah menjadi satu masalah baru pulak. Ah, persetankan semua itu. Yang penting penyertaan sudah cukup. Aku terus menyemak borang satu persatu dan muncul pula masalah lain.

Ada satu borang pelajar lelaki namanya  ditulis tidak lengkap iaitu  tanpa bin. Nama yang ditulis adalah Faris Izani (bukan nama sebenar). Aku geleng kepala. Pelajar ini aku kenal. Sudah beberapa kali bertanya kepada aku sama ada masih ada kekosongan ataupun tidak. Teruja dia untuk dapat bersama menyertai lawatan ke Rumah Pengasih. Borang dia aku asingkan ke tepi. Aku minta pelajar lain untuk panggilkan dia di dalam kelas untuk berjumpa aku bagi membetulkan semula maklumat pada borang. Melengkapkan maklumat pada borang kebenaran yang sangat penting bagi pelajar sekolah untuk melibatkan diri dengan aktiviti luar. Malangnya dia tiada di dalam kelas.

Lawatan diteruskan dengan bilangan peserta seramai 41 orang beserta 3 orang guru pengiring termasuk aku. Bas bertolak dari sekolah ketika matahari hampir tegak di atas kepala.

Selesai lawatan ke Muzium Polis kami terus bergerak ke Rumah Pengasih. Program habis lebih kurang pukul 5 lebih. Untuk ke rumah pengasih bas perlu diparkir di jalan di atas dan perlu menuruni bukit daripada jalan besar di atas. Ketika sedang berjalan kaki mendaki bukit menuju ke bas, aku yang berada di belakang sekali menegur Fairus.

''Kau apasal isi borang tak lengkap?'' tegur aku nada suara yang bergurau. Sememangnya aku suka bergurau begitu dengan mereka yang aku kenal.

''Mana ada. Apa yang tak lengkap?'' tanya dia kembali hairan

''Nama tak penuh. Kau tulis dua perkataan sahaja. Mana bin? '' jelas aku.

''Cikgu, nama dia memang macam tu la. kalau tak percaya tengok ic'' terang kawan disebelahnya yang turut jalan bersama aku. Kami bertiga di belakang sekali.

''Sini ic. cikgu nak tengok.'' pinta aku. Fairus menyeluk poketnya lalu mengeluarkan wallet kelabu miliknya. Malu-malu dia menyerahkan ic kepada aku. Tidak lekang dengan senyuman di bibir. Aku capai dan perhatikan. Patutlah dia malu-malu, rupanya gambar Fairus di dalam ic sedikit tembam berbanding dengan rupa dia yang sekarang. Aku ketawa perlahan.

Betul la dalam kad pengenalan dia memang cuma tertera dua perkataan sahaja. Pelbagai persoalan mula menerjah benak aku. ayat di atur dan aku mula bertanya.

''Kenapa tak ada nama ayah?'' Soal aku.

''Mak dah padam nama ayah.''Jawab dia bersahaja. Masih dengan senyumannya.

''Hah,? kenapa pulak mak nak padam nama ayah?" Terkejut aku mendengar jawapannya. Seperti ada kisah disebalik semua itu Tidak menunggu lama, aku terus bertanya lanjut.

''Ayah dulu pernah macam ni. Ayah penagih dadah.'' riak wajahnya sedikit berubah. Mungkin malu dengan apa yang diceritakan kepada aku tadi.Tetapi masih cuba diselindung disebalik senyumannya. Dia memang seorang yang suka tersenyum. Tapi siapa sangka, di sebalik senyuman tu tersimpan duka yang dalam

''Oh...'' Jawab aku ringkas. Seketika aku kehilangan kata. Aku cuba mengawal perasaan. Terkejut dan emosi aku mula larut. Empati mula menjiwai aku.  Seolah aku juga turut merasa apa yang dirasai oleh Fairus. Aku kembali menyoal.

''Boleh pulak padam nama macam tu ek. Tak tahu pulak cikgu.'' Sengaja suara aku ceriakan.

''Ayah dah meninggal waktu saya lahir tu.'' Bertambah sebak aku mengetahui dia adalah anak yatim. Sepertinya aku mahu peluk Fairus seeratnya sambil memberikan kata semangat. Tetapi aku tidak jadi melakukanya kerana kemungkinan besar takungan jernih kelopak mata aku akan pecah dan berderai.

''Habistu, yang nama pada borang tu siapa? Izani ni sapa?'' Soal aku lagi merujuk keoada borang yang dihantar Fairus.

''Yang tu ayah angkat. '' Jawabnya ringkas.

''Jadi kau tinggal sekrang dengan ayah angkat la?''

''Aha. Saya pun dulu baru tahu saya ni anak angkat sebab saya dengar ayah angkat saya cakap dia ni penjaga saya bila ada orang tanya.'' terangnya lanjut.

'' Habistu, adik-adik yang lain sama jugak ke nama macam ni? Mak padam nama ayah?''

''Tak la. Saya sorang je, Saya anak tunggal.''

''Maksudnya...''

''Waktu saya lahir tu ayah dah tak da dah.'' Sambung dia lagi apabila melihat wajah aku yang semakin keliru.

''Ohh...'' Aku diam menyusun kata.

''Tinggal dengan ayah angkat kan. Lepastu mak tu mak kandung kan.''

''Tak, mak angkat jugak''

'' Eh, mana mak kandung?'' Aku makin keliru.

'' Waktu saya lahir tu ayah dah takda. Lepastu mak susah macam tak mampu nak jaga saya. Jadi mak serah saya pada abang dia untuk jaga saya.''

''Oh, kiranya mak kandung masih ada la kan''

''Aha..''

''Tahu ke dia kat mana sekarang?'' dia hanya menggeleng.

''Ayah angkat mesti tahu kan.'' Fairus mengiyakan. '' Tapi mesti dia saja taknak beritahu kan'' tambah aku lagi. Fairus mengangguk sambil tersenyum.

Buat seketika kami berdua terdiam. Aku larut dalam persoalan. Manakala Fairus mungkin larut dalam memori silam.

Kami sudah semakin hampir dengan bas. Pelajar lain sudah menaiki bas. Rakan aku dihadapan emlaung menyuruh kami cepat. Aku buat tidak endah. Cerita ini lebih menarik perhatian aku.

''Bagus juga dia tak beritahu, nanti sampai masanya mesti dia beritahu.'' sambung aku sebelum kami sampai kepada bas. Dan perbualan kami terus berakhir di situ. Dia tersenyum sahaja kepada aku dan terus menaiki bas.

Tanpa aku sangka tanpa aku duga,dalam diam ada yang menyimpan duka. Mungkin atas alasan itu juga dia begitu teruja untuk turut serta menyertai lawatan.

Begitulah perbualan ringkas aku bersama Fairus yang aku kira memberikan persepsi baru kepada aku. Aku mengenali Fairus sejak di tingkatan tiga lagi dan sekarang dia di tingatan empat. Tahun lepas aku perhatikan, Dia sememangnya suka tersenyum. Mungkin juga itu adalah kekuatan dia untuk melupakan kepahitan yang di rasai. Pertanyaan aku sedikit sebanyak pastinya merobek kembali luka-luka lama.

Aku harap dia terus tabah. Dan pastinya suatu hari nanti dia mahu bertemu semula dengan ibu kandungnya walau siapa pun dia dan dimana dia berada.Sejujurnya aku sebak mendengar cerita dia.

Buat Fairus, andai kata kamu terjumpa catatan ini  walaupun nama telah diubah, pastinya kamu tahu kisah ini tentang diri kamu. Cikgu doakan kamu berjaya suatu hari nanti.


23 APRIL 2018

Open Cbox