CERPEN - SETAMAN MAWAR HATI



Mentari pagi mula menginjak tinggi di sebalik perbukitan yang tersergam indah di perkampungan Andaman . Cahayanya memancar tajam menerangi seluruh pelusuk desa   Andaman. Sinar matahari pagi menerobos masuk ke dalam bilik Wak Saman melalui daun tingkap yang tidak bertutup rapat. Terkenyit-kenyit Wak Waman bangun  sambil memisat-misat biji matanya.  Matanya digosok berkali- kali. Ternyata hari sudah siang benar. Matahari sudah terpacak tinggi.

Tiba-tiba Wak Saman bingkas bangun menuju ke tingkap lalu di kuaknya daun tingkap kiri dan kanan sehingga terbuka luas.  Tumpuannya terarah kepada  deretan pasu bunga di halaman rumahnya. Bagaikan sebuah taman mini dengan pelbagai jenis tumbuhan berbunga.

‘’Ah, lambat pula aku bangun hari ni. Pasti Biru sudah kehausan.’’ Keluh Wak Saman. Kain pelekat yang dipakainya digulung kemas. Semakin digulung semakin senteng jadinya hampir menonjolkan kepala lutut.

Perlahan-lahan langkahnya diatur menuruni anak tangga. Kudratnya kian dimamah usia. Jika dahulu, dengan pantas sahaja dia dapat menuruni tangga. Dari anak tangga paling atas terus sahaja dia melompat ke tanah. Itu belum dikira lagi kegagahannya mendaki perbukitan Andaman saban petang.  Kelincahan, ketangkasan, kepantasan dan kegagahannya tiada tandingan di perkampungan Andaman.
Lantas dia digelar jaguh yang menjadi tumpuan anak gadis di desa Andaman. Tiap kali beradu tenaga, dia belum pernah tewas. Belum ada yang mampu menewaskannya walau sekali. Dia terlalu ampuh untuk ditewaskan. Namun, telah  muncul satu kuasa yang sakti. Kuasa yang mampu mencairkan besi padu, meratakan gunung - ganang dan mengeringkan selautan ego sang lelaki. Kuasa itu digelar cinta. Kuasa inilah yang telah membawa dia kepada kehidupannya kini. Keperkasaanya ditewaskan dengan kuasa yang namanya cinta. Sukar untuk dipercayai tetapi harus diakui.

Diperhatikannya  deretan bunga-bunga yang pelbagai warna dengan hanya  berkain pelekat tanpa memakai baju. Susuk tubuhnya jelas memperlihatkan  usianya.  Rusuknya jelas kelihatan timbul disebalik lapisan kulit yang menipis dan berkedut. Boleh di hitung.

 Di capainya baldi air berhampiran tangga lalu di siramnya  bunga-bunga tersebut bermula dari pasu di sebelah hujung.  Disiramnya perlahan pada bahagian akar menggunakan penyeduk air yang dibuat daripada botol plastik yang dibelah dua. Jika disiram di bahagian batang dan juga daun akan menyebabkan kelembapan seterusnya memudahkan jangkitan penyakit seperti kulapuk dan kulat pada pokok.

Tiap-tiap pasu diteliti dengan bersungguh persis seorang doktor merawat pesakit. Dibeleknya daun, batang dan kuntum mawar kalau-kalau ada yang rosak. Daun yang kerinting dicantas dan dibuang terus ke jauh. Itu tandanya pokok tidak sihat kerana dijangkiti  penyakit Thrip iaitu sejenis kutu yang menghisap nutrien pokok. Akibatnya pokok kekeringan nutrien dan akan mati. Rumput kecil yang menumpang di dalam pas uterus dicabut dan dibuang. Mana mungkin dia mahu membiarkan nutrien untuk mawarnya dikongsi bersama si rumput yang hanya tahu menumpang sahaja.

Wak Saman amat menitik beratkan hal ini. Tiap kuntuman dijaga dan diperiksa rapi. Deretan mawar ini adalah jiwanya yang hilang suatu ketika dahulu. Kehilangan sekali lagi akan menjadi malapetaka. Dia pasti rebah tanpa berbangkit.  Masa lalu telah mengajarnya.

Tiba di  pasu yang terakhir  dia berhenti sejenak. Direnungnya dengan mendalam. Di dalamnya terdapat sepohon mawar yang mempunyai sekuntum mawar Biru yang mekar.  Yang dijaga dan dibaja dengan baik dan penuh kasih sayang. Lagaknya umpama membelai sang kekasih.  Baja taik ayam menjadi  pilihan terbaik agar  pokok tumbuh subur dan gemuk. Seperti manusia juga, tumbuhan juga perlukan nutrien tambahan seperti kulit buah pisang, kulit telur,  dan air basuhan ikan. Wak Saman peka.

Wak Saman membelek kuntuman mawar  yang  tergolong dalam kumpulan angiosperm ini yang  telah wujud sejak zaman cretaceous lagi serta  menjadi hiasan laman yang paling menenangkan dirinya. Sepadan dengan jiwa melayu nya seperti di kisahkan di dalam Hikayat Bayan Budiman betapa terkenalnya mawar sebagai tanaman hiasan dalam kehidupan. Di belainya mawar Biru lembut. Hidungnya dirapatkan kepada kuntuman mawar Biru lalu menarik nafas dalam-dalam dengan mata terpejam. Menikmati  keharuman mawar Biru. Aroma yang menyegarkan lagi mendamaikan persis haruman si gadis Andaman.

Layanan wak saman terhadap si mawar Biru rupanya menimbulkan rasa cemburu kuntuman yang lain. Masing-masing mempersoalkan layanan wak saman terhadap mawar Biru. Membanding – bandingkan kelebihan diri masing-masing.  Hanya si mawar Hitam yang tidak bersuara. Diam di sudut paling hujung berselang satu pasu.  Dianggap sombong oleh kuntuman  yang lain. 
‘’Kenapa engkau hanya berdiam wahai si mawar Hitam? Atau engkau bisu?’’ soal mawar Oren yang berada paling hampir dengan mawar Hitam.

‘’Aku..... malu. Tubuhku gelap dan suram. Manusia sering mengaitkan aku dengan kesedihan dan kematian. Kerana itu, tiada yang mahu mendekati , apatah lagi hendak berkawan denganku. ‘’ Luah mawar Hitam. Riak wajahnya kelihatan sugul. Sedih barangkali mengenangkan nasib dirinya.

‘’Mengapa pula kau bertanya? Adakah engkau mahu berkawan denganku?’’. Soal mawar hitam pula.
‘’Aku mawar Oren.... si  pemberi semangat kepada yang perlu. Lagi pula aku juga sering berbual dengan mawar Hijau yang selalu bercerita  tentang keharmonian, keakraban dan kesejahteraan. Aku akan membantu engkau.’’ Jelas mawar Oren memujuk.

Mawar Hitam hanya menganguk. Sesekali dia tersenyum dengan layanan baik mawar Oren yang memberikan semangat serta kekuatan kepada dirinya. Sudah menjadi tanggungjawab mawar Oren untuk membantu mereka yang lemah serta tiada motivasi diri untuk bangkit.

‘’Kalaulah aku secantik mawar Biru’’. Gumam mawar Hitam sendirian.

‘’Iya lah, Jika di beri pilihan aku juga mahu secantik dia.’’ Mawar Oren mengiyakan kata-kata mawar Hitam. Baginya, mawar Hitam benar, semua kuntuman di taman itu mahu menjadi seperti mawar Biru. Walaupun mereka tinggal diatas para, deretan, saiz pasu dan menerima nutrien yang sama, mawar Biru tetap lebih menyerlah dan  mencuri tumpuan lebah dan kelulut yang menyinggah. Sang rerama juga gemar datang bertenggek menikmati manisan di kuntuman mawar Biru.  Apatah lagi Wak Saman juga amat menyayangi mawar Biru yang mencambahkan lagi tunas cemburu mawar di deretan itu.

Perbualan mereka berdua sedari tadi  didengari oleh  mawar Merah, Putih, Kuning, Unggu dan Merah Muda. Maka tercetus pula perbualan di antara mereka berlima.

‘Di halaman ini, di deretan ini aku lah yang  paling cantik dan menawan.  Ramai manusia yang tertarik dengan warna tubuhku dan seringkali aku menjadi pilihan sebagai hadiah oleh  pasangan yang bercinta. Tubuhku juga berwajah seksi ‘’ Kata mawar Merah membangga diri seraya memekarkan kuntumnya. Tercabar dengan pujian mawar Hitam terhadap mawar Biru.

‘’Ahh,,, jangan engkau perasan , bukan kau sahaja menjadi pilihan. Aku juga turut diminati.  Warna tubuhku juga unik. Aku menjadi pilihan buat mereka yang mengutamakan persahabatan. Manusia memilih aku untuk menghargai sahabat. Sahabat itu lebih  ramai berbanding kekasih yang hanya seorang. Tidak seperti engkau mawar Merah yang hanya di diperlukan ketika manusia sedang asyik bercinta sahaja.’’Hujah mawar Kuning tidak mahu beralah. Kata –kata mawar Merah ternyata mencabar keegoanya.

‘’Engkau sudah lupa atau pura-pura lupa? Engkau juga penuh dengan sifat cemburu. Harus engkau ingat itu. ’’  Balas mawar Merah sinis.

Pandangan mereka bertaut seketika. Kemudiannya berpaling membelakangi  sesama sendiri.

‘’Aku tidak mahu berkata apa-apa. Setiap ciptaan punyai  kelebihan. Sebagai makhluk yang dicipta Allah, kita  harus menerima setiap ciptaan-Nya  seadanya.’’ Kata mawar Putih lembut mempamerkan sikap dan perwatakannya yang  suci dan berhati murni.

Mawar Merah dan Kuning saling  berpandangan semula. Seakan bersatu membantah ungkapan mawar Putih.

‘’Sudahlah,  kalian usah bertengkar lagi’’. Akhirnya mawar unggu bersuara. Sedari tadi dia hanya mendengar sahaja perbualan mereka bertiga. Mawar putih, merah dan kuning masing-masing memandang tepat kearah mawar Unggu. Menanti butir kata selanjutnya.

‘’Ada benarnya juga kata-kata mawar Putih itu. Lihatlah mawar Biru itu, saban waktu  diberi lebih perhatian oleh Wak Saman berbanding kita semua. Kerana apa? Kerana kita suka berhasad dengki dan membangga diri. Padahal kita sepatutnya saling melengkapi. Manusia juga memerlukan kita di dalam diri mereka. Tetapi ramai yang tidak sedar. Mereka terlalu memilih dan akhirnya tersalah pilih.’’ Lantang mawar Ungu berhujah hinggakan semua kuntuman sederet itu mendegar jelas butir bicaranya.

‘’Tiada gunanya memilih jika Merah sahaja, kelak engkau akan lupakan sahabat, lupa erti setia yang akan melunturkan kesucian hati. berharmonilah seperti mawar Hijau. Lihatlah, kita sebenarnya saling memerlukan dan bukannya dipisahkan. Jika tidak, jiwa kita akan mati dan beginilah akhirnya kita. Bertelagah sesama sendiri yang merugikan diri sendiri juga.’’

Mereka bertiga mengangguk. Kata-kata mawar Unggu ada benarnya juga. Mereka tidak nafikan. Mawar Unggu terlebih dahulu menghuni para itu berbanding mereka yang lain.

‘’Mawar Biru...... kau adalah keindahan yang unik, penuh dengan kesempurnaan dan kekaguman.Dirimu tidak seperti yang lain... engkau bukan semula jadi. Engkau adalah gabungan bersama mawar Putih melalui teknik pengubahsuaian genetik. Kerana itu engkau berbeza. Engkau istimewa ...... kepada mereka, kepada aku. Kepada jiwa yang mati.’’ Monolog Wak Saman sendirian di dalam hati tatkala merenung keindahan mawar Biru.

‘’Pertama dan terakhir.’’ Nekadnya di dalam hati.

Kerana itu wak saman begitu memberikan lebih perhatian kepada mawar Biru. Bukan kerana pilih kasih. Semuanya juga dilayan secukupnya.  Baja, air dan juga nutrien yang sama untuk semua kuntuman. Tetapi, bagi Wak Saman, mawar Biru begitu istimewa dalam hidupnya. Suatu masa dahulu sewaktu dia masih gagah, mawar Biru dijadikan  alat untuk interpretasi  akan cinta pertamanya terhadap seorang gadis desa Andaman. Mawar Biru menjadi lambang cinta pertamanya.
Cinta pandang pertama yang merubah dirinya seperti sekarang. Cintanya  telah karam di lautan hati yang paling dalam. Khilafnya dia kerana lupa akan mawar Merah, Unggu, Hijau, Putih, Merah Muda dan Kuning menyebabkan cintanya  lompong. Akhirnya mawar hitam datang bertandang memahat duka di dasar hati.

Kini  segalanya telah disatukan di atas sederet para  dihalaman rumahnya. Cuma mawar Hitam sahaja yang dijarakkan satu pasu daripada mawar yang lain. Baginya akan tiba masa dan ketikanya nanti mawar Hitam akan mengambil alih kedudukan semua mawar tersebut di hatinya. Bukan sengaja meminggir melainkan kerana Wak Seman arif benar akan sifatnya mawar Hitam yang menjadi simbol kepada kesedihan dan kematian.

Tiada guna berkasih sayang jika tiada kesetiaan. Itu tandanya hati telah  hitam. Angin bertiup perlahan. Sehelai demi sehelai kelopak mawar Unggu gugur menyembah bumi. Hingga tiada lagi yang tersisa.


Matahari semakin galak memancar sinarnya tegak di ubun-ubun. Wak saman telah selesai menyiram dan membaja semua bunga mawarnya.  Jika lupa disiram , kuntuman akan  menjadi layu  di panah cahaya matahari. Wak Saman kemudian menapak pergi bersama harapan semua mawarnya  hidup subur dan mekar dalam jagaanya yang semakin meniti hari.

No comments:

Open Cbox