AKU DAN NASI LEMAK TENGAH MALAM

                                                                       
Hari ni buat pertama kalinya sepanjang semester baru nih aku pergi library room 24H. Biasanya aku lepak dengan agak lama kadang-kadang aku masuk sewaktu bulan sedang bersinar dan keluar saat matahari sudah menerangi alam. Tapi untuk malam ni aku balik awal. Ya, sangat awal. Aku datang pukul 10 malam dan balik pukul 12 malam. Antara sebab lain nya dipengaruhi oleh kawan aku yang dah nak balik. Tambahan pula keesokkannya aku ada kelas pagi pukul 8.

Dalam perjalanan nak balik ke desa yang jaraknya sekitar 2 kilometer, aku sempat menyinggah di vending machine dan tekan air gedegang. Untuk malam ni aku teringin nak minum air tin 100 plus setelah sekian lama tak minum. Dapat juga membekalkan aku tenaga untuk menempuh perjalanan yang tak berapa jauh di tengah malam ni keseorangan berjalan kaki.

Apabila tiba di desa Aman, aku berhenti membeli apam balik mini dan sebungkus nasi lemak pada seorang pak cik yang meniaga menggunakan lori kecik. Apam balik aku habiskan semasa dalam perjalanan dan nasi lemak aku simpan untuk makan di dalam bilik. Aku memang suka makan dalam bilik sambil tengok  you tube. Layan apa-apa video yang menarik. Biasanya video yang kelakar la macam Just for Laugh, Fail Compillation dan macam-macam lagi. Paling koman pun aku layan lagu.

Bukan apa, sambil makan tu aku dapat jimatkan masa aku yang digabungkan untuk makan dan layan you tube.

Sambil makan tuh, fikiran aku menerawang jauh kembali ke asrama sewaktu zaman persekolahan. Di waktu yang sama sebegini juga aku menjamah nasi lemak bungkus tengah malam yang bungkusnya pun sama.


Alkisahnya budak asrama mesti faham kelaparan dan kebuluran yang dialami oleh budak-budak asrama di waktu malam. Makan malam pada jam enam petang dan supper pada jam 10.30 malam. Supper pun cuma makan biskut kering dua tiga keping sorang atau roti ban sebungkus sorang.

Lepas pada tu dah takda makan. Sebab tu diwujudkan kelab usahawan (tingkatan 4) yang membuat jualan seperti kerepek, gula-gula dan nasi lemak di asrama. Nasi lemak ni memang ada pada waktu malam sahaja dan mula dijual selepas solat isyak dan baca Al -Quran iaitu kira-kira jam 10.45 malam.

Harga cuma RM1 sebungkus. Padanlah untuk nasi lemak dengan ikan bilis dan telur rebus kerat berapa apa aku tak tahu. Sambal bilis adalah secoleh. Nasi lemak ni dibekalkan oleh ustaz yang merangkap warden asrama juga. Bagus juga kan, kurang la sikit budak makan maggi.

Sambutan memang tidak mengecewakan. Sapa lambat memang tak dapat. Maka terpaksa membodek dan mengecek kawan-kawan yang lain. Aku biasanya beli dua bungkus. Ye la, esok tu nak puasa kan. Kira bersahur la ni. Hahaha. Rasanya sebab ni la kot aku agak 'comel' waktu di asrama. Makan , makan, makan dan makan. Tak makan lapar pulak. Kadang-kadang makan juga sebab kawan makan. Eh,! ada juga macam ni? Alaa... asrama kan. Macam-macam ada. Jangan nak heran sangat aih.

Makan tu pulak bukan sebarangan tempat. Kena tengok tempat yang 'aman'. Kalau takkk........kena paw la jawabnya. Datang sorang kawan duduk dekat. ''Aku takda beli la tadi. Dah habis. Mintak sikit.'' Terpaksala relakan juga. Tak bagi kesian sebab kawan. Dah bagi pulak 'sikit' dia tu lain macam. Redhaa je laa....

Sebab tu bila makan, aku akan makan dekat tempat yang ramai orang tengah makan. Risiko nak kena paw tu kurang sikit. Pilihan banyak. Biasanya ramai yang beli dan terus makan di atas tebing kolam ikan depan blok Delima 4 tu. Ye la kan, depan tu macam romantik sikit suasananya. Tambah pulak time kolam tu ada ikan tilapia berkejar-kejaran dalam kolam. Rasa macam nak buat lauk je makan dengan nasi lemak. Aku memang gemar lepak situ. Makan sambil-sambil tengok gelagat orang.

Kalau nasi tak habis jual pulak, deme ni akan lelong. Deme jerit dari bawah satu blok boleh dengar. Kalau tak laku lagi deme aku pergi lelong dari bilik ke bilik. Harga dah diskaun. Paling rendah pun 50 sen la sebungkus. Takkan tengok saja kan. Berebut orang beli mana yang belum tido lagi tu termasuklah aku. Tapi bila kenyang sangat aku buat tak tahu la. Ini juga menyumbang kepada ke'comel'an aku ketika itu. Hahaha.

Hampir terlupa, sosej juga dijual. Sebagai lauk tambahan untuk nasi lemak. Dan juga sebagai penyumbang lemak di badan. Nasi lemak dua bungkus dan sosej satu sebagai bekal untuk bersahur. Budak asrama ni rajin puasa sunat isnin dan khamis kalau kome nak tahu.

Situasi ni hanya ada di asrama. Lebih tepat lagi asrama sekolah. Asrama Uni ni jangan harap la nak ada macam tuh.  Mana yang sempat merasa suasana macam ni, simpanlah sebagai kenangan. Tak semanis madu tapi indah untuk dikenang.

Sekian dan salam rindu buat Seri Delima 4.
                                                                 

No comments:

Open Cbox